utama

'Sistem ini telus, tidak ada ruang kehilangan satu sen pun'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Usahanya membantu golongan memerlukan dengan mengutip sumbangan mendapat pujian namun ada juga mendakwa tidak ada ketelusan.

Itu persepsi dihadapi Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, 31, pemilik akaun Founder Misi yang giat menjalankan Misi Rakyat sejak hujung tahun lalu hingga menjadi buah mulut masyarakat dan pengguna laman sosial.

Niat murni Faiz disalah erti apabila tabung sumbangan yang dilancarkan diragui kerana ia dijalankan secara peribadi tanpa membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar.

Faiz yang juga 'programmer' berkata, dia sudah menjangka timbul 'cakap-cakap' kurang sedap didengar dengan cara yang dibuat.

Menurutnya, misi dan bantuan itu adalah telus berdasarkan sistem yang dibangunkan selain membolehkan orang ramai melihat sendiri transaksi yang dibuat hingga wang disalurkan kepada pihak memerlukan.

"Saya wujudkan satu sistem yang telus jadi tidak ada satu ruang pun untuk kehilangan satu sen. Bila orang menyumbang, mereka boleh tengok terus segala perinciannya.

"Bila keluarkan duit, saya akan buat video menunjukkan kami memindahkan wang itu kepada akaun penerima, sebanyak mana terkumpul, sebanyak itulah yang mereka dapat. Sasaran kami bukan duit itu tapi kepercayaan orang ramai.

"Kami sebagai sebuah syarikat persendirian, bukan NGO atau yayasan. Apa yang penting ada transaksi A hingga Z, keluar masuk duit itu jelas dan pindahkan terus dengan jumlah terkumpul ke akaun penerima, jadi itu tiada masalah untuk buat kutipan. Saya membangunkan sistem Misi Rakyat dan ia juga ada aplikasi yang boleh dimuat turun dengan menaip nama Misi. Di situ orang ramai boleh lihat rekod apa yang kami sudah buat," katanya.

Menurutnya, kali pertama menjalankan projek Misi Rakyat ketika banjir besar melanda di beberapa di negeri pada hujung tahun lalu adalah menggunakan duit simpanan sendiri hingga baru-baru ini saja dia melancarkan tabung sumbangan berdasarkan kes atau individu yang ingin dibantu.

Faiz berjaya membuat kutipan derma RM142,634 dalam tempoh 24 jam bagi membantu keluarga dua mangsa 'rider' yang terbabit dalam kemalangan di Petaling Jaya pada September lalu.

"Saya dapat idea menjalankan misi ini selepas berasakan perkara seperti ini tak pernah ada dan saya juga rasa perlu buat sesuatu untuk bantu rakyat. Pada mulanya saya menjalankan Misi Rakyat ini dengan dana sendiri dan saya sudah berhabis ratusan ribu ringgit. Selepas insiden penunggang 'rider' kemalangan, baru saya lancarkan tabung sumbangan.

"Saya percaya kepada sifat kemanusiaan yang Allah sudah tanam dalam diri kita sebagai manusia. Tambahan pula orang Malaysia ini agak berbeza sedikit yang mana kebanyakannya ada sifat prihatin yang sangat kuat tak kiralah kaum atau bangsa apa pun. Kemudian saya mencungkil ia keluar supaya semakin lama perpaduan ini semakin terbina. Kalau kita jaga perkara ini, InsyaAllah kita boleh elakkan kemiskinan dan rakyat yang kelaparan," katanya.

Menurutnya, dia tidak memilih penerima sebaliknya dibuat berdasarkan gerak hati yang diberikan Allah SWT.

"Kami tak pilih untuk beri bantuan kepada sesiapa pun dan memang ramai mesej saya tapi kami tak mampu untuk bantu semua. Jadi apa yang saya buat adalah berserah kepada Allah. Apa saja yang Allah tunjuk dan hati itu rasa nak buat, saya akan ikut.

"Sebab itu, sumbangan diterima laju dalam masa beberapa jam saja sudah selesai. Jadi, untuk pilih yang mana itu kami ikut jalan diberikan oleh Allah.

"Sebenarnya, apa yang paling penting adalah menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk memberi dorongan supaya sertai misi seterusnya. Itu kami punya sasaran sebab kalau nak cakap bantu semua memang tak mampu.

"Sebagai contoh, walaupun ada yang kos rawatannya sebanyak RM50,000 tapi kami tahu ia tidak terhenti di situ kerana ada kos rawatan susulan. Apa yang saya buat adalah buka sumbangan dalam tempoh tertentu dan akan serahkan 100 peratus kepada sasaran. Tapi selepas ini akan ada perubahan sedikit di mana kami akan ikut sasaran kemudian ada lebihan untuknya. Tapi bila ada lagi baki lebih daripada apa yang ditetapkan, kami akan bawa kepada orang lain," katanya.

Ditanya adakah dia bercadang untuk mendaftarkan Misi Rakyat itu sebagai NGO, Faiz berkata, apa yang menjadi fokusnya kini adalah misi rakyat kepada rakyat.

"Ramai yang suruh daftar sebagai NGO tapi saya tangguh dulu sebab sasaran ketika ini adalah untuk rakyat jadi saya nak rakyat terdidik ke arah rakyat jaga rakyat. Tapi kemungkinan akan wujudnya satu NGO satu hari nanti supaya ia lebih besar," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2022 @ 11:27am
d