utama

Seksanya lima bulan tak dapat gaji

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Barisan pemain Melaka United FC boleh dikatakan berada dalam keadaan 'tenat' selepas dikhabarkan tidak memperoleh gaji sejak lima bulan lalu.

Walaupun Melaka United melalui penjenamaan semula dengan ditukar nama kepada Harimau Melaka, pasukan terbabit masih dibebani masalah hutang terutama membabitkan tunggakan gaji pemain yang belum dilangsaikan pengurusan.

Situasi terbabit didedahkan pemain pasukan itu, Syazwan Andik yang menjelaskan barisan pemain sudah lima bulan tidak menerima gaji hingga mengalami masalah untuk melunaskan komitmen bank.

Menerusi laman Instagram miliknya, pemain berusia 26 tahun itu memberitahu dia kini dalam 'buruan' pihak bank kerana tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bayaran bulanan itu.

Malah, dia ada menghubungi pemilik Melaka United, Datuk Seri Justin Lim, namun usaha itu menemui kegagalan.

"Bila kami mesej tidak dibalas, hanya dibaca. Bila kami hubungi tidak dijawab. Nak berdiam sahaja pemilik Melaka ni. Bila tanya Melaka United Soccer Association (MUSA) mereka cakap sudah tiada kena-mengena.

"Sudah lima bulan kami tidak bergaji. Komitmen banyak tertunggak. Pihak bank hubungi hari-hari. Nak sara keluarga lagi. Nak minta tolong siapa lagi?," katanya.

Syazwan turut meminta Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang berat serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu itu.

Mengikut rekod, isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan menjadi punca utama kelab itu disingkirkan daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Syazwan dipinjamkan dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II ke Melaka pada musim ini dan kontraknya bersama pasukan Hang Tuah itu berakhir lusa.

Sementara itu, usaha Arena Metro menghubungi pemilik pasukan terbabit menemui kegagalan apabila pesanan melalui WhatsApp dan panggilan tidak dijawab.

Disiarkan pada: November 28, 2022 @ 7:11pm
d