utama

Elak inflasi meningkat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Cadangan pelaksanaan pemberian subsidi bersasar jika dilaksanakan kelak perlu disertakan dengan bantuan sara hidup bersesuaian kepada kumpulan sasar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pensyarah Perakaunan dan Tadbirurus Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekiranya subsidi bersasar dijalankan tanpa mekanisme lain seperti bantuan sara hidup pastinya kadar inflasi dijangka kembali meningkat.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan rakyat kurang berbelanja dan secara tidak langsung memperlahankan perkembangan perniagaan serta kurang aktiviti melabur susulan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat akibat impak subsidi bersasar.

"Oleh itu, jika subsidi bersasar dilaksanakan bersama bantuan sara hidup, B40 akan mampu berbelanja seperti biasa. Tetapi mungkin M40 akan mengurangkan sedikit perbelanjaan harian mereka," katanya.

Selain itu, Razman berkata, Belanjawan 2023 perlu dibentang semula dengan mengambil kira semua inisiatif daripada manifesto kerajaan perpaduan yang dianggotai pelbagai parti yang mempunyai manifesto tersendiri.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya Dr Roza Hazli Zakaria berkata, sekiranya penarikan subsidi dilakukan secara drastik dan menyeluruh, keupayaan pengguna untuk berbelanja akan terjejas selain kesan rantaian besar membabitkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam sektor lain.

"Kita pernah mengalami situasi ini beberapa tahun lalu apabila subsidi ditarik balik untuk minyak petrol, dan harga minyak meningkat kepada RM2.70. Ia menyebabkan kenaikan harga barangan lain dan menjejaskan keupayaan pengguna berbelanja," katanya.

Bagaimanapun, Roza Hazli berkata, sekiranya penarikan subsidi dilakukan secara berperingkat, dimulakan dengan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula, kesannya ke atas kuasa beli pengguna tidak besar.

"Ini kerana barangan seperti itu mengambil bahagian yang kecil daripada belanjawan harian pengguna," katanya.

Roza Hazli turut berpendapat Belanjawan 2023 perlu diubah suai dan dibentangkan semula sekiranya penyelarasan subsidi itu direalisasikan.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun terdapat kegusaran golongan M40 dan T20 mengenai akibat pemberian subsidi bersasar, beliau percaya mereka masih menerima manfaat melalui insentif lain yang disesuaikan untuk mereka.

Disiarkan pada: November 30, 2022 @ 6:30am
d