utama

Jangan main api

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Selepas dua minggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berakhir, wujud pihak tertentu menimbulkan isu perkauman yang boleh menggugat keharmonian negara menerusi media sosial sehingga mengundang kegusaran awam.

Beberapa hantaran di media sosial termasuk TikTok dilihat sebagai cubaan mengapi-apikan masyarakat supaya membenci pihak tertentu seperti perkongsian di TikTok mengenai kononnya kejadian 13 Mei akan berulang, baru-baru ini.

Ia ditonton ratusan ribu pelayar yang turut memberikan komen sehingga ia ditarik balik oleh TikTok kerana melanggar Garis Panduan Komuniti.

Persoalannya kenapa ada pihak begitu berani 'bermain api' dengan isu yang boleh menggugat sensitiviti negara kita yang berbilang kaum ini.

Ia berlaku ketika negara baru saja selesai mengadakan PRU-15 dan perlu memberikan tumpuan kepada kestabilan politik serta pengukuhan ekonomi menerusi Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.

Dua hari selepas hari pengundian, TikTok dipenuhi dengan naratif bahawa akan berlaku perpecahan khususnya kepada orang Melayu dan Islam kerana ada parti tertentu akan menguasai arena politik tanah air.

Ia dipercayai ada kaitan dengan keputusan PRU-15 yang menunjukkan tiada parti memperoleh majoriti menjadikan dan kandungan kreatif itu dicipta untuk menimbulkan ketakutan rakyat dan anti kepada kaum tertentu.

Di dalam klip yang sudah pun diturunkan TikTok, pemilik akaun juga menyeru terutamanya parti berasaskan kaum dan agama untuk mentadbir negara.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil pengurusan TikTok berhubung perkara itu dan terus memantau sebarang perkongsian yang menggugat ketenteraman awam.

Selain itu, sebuah klip lama mengenai bendera Malaysia yang dinaikkan bersebelahan bendera Israel ketika satu kumpulan melancong Tasik Galilee yang terletak di dalam kawasan jajahan Israel.

Bagaimanapun, semakan polis mendapati, ia adalah video lama yang ditularkan semula dan dikongsikan media sosial lain yang mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan itu jam 11.20 malam Selasa lalu daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan melihat rakaman video berdurasi 47 saat berkenaan menerusi kumpulan sembang WhatsApp.

Katanya pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988.

Sementara itu pemerhatian wartawan mendapati rata-rata netizen tidak selesa dengan hantaran atau komen yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

Sebaliknya, mereka mahu rakyat berbilang kaum bersama-sama kerajaan menumpukan kepada pembangunan negara serta hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Seorang netizen, Joseph berkata, kandungan di dalam media sosial seperti itu boleh menjejaskan usaha untuk mencari negara maju.

"Ini semata-mata jatuhkan Malaysia supaya tak terus maju. Niat jahat...Malaysia sekarang sebenarnya sudah sama standard dengan Korea atau Jepun.

"Tapi sebab sentimen perkauman dan rasuah Malaysia masih 80-an berbanding Indonesia dan Vietnam yang terus ke hadapan," katanya.

Seorang lagi pelayar internet, Zamuri Mat Asnguri berkata, tindakan seperti itu akan merosakkan negara kerana fitnah dan perkauman.

"Akhirnya menyusahkan, merosakkan pemikiran rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan cintakan perubahan yang lebih baik, politik yang stabil, kemakmuran, kedamaian, kerukunan dan perpaduan kerana Islam Rahmatan Lil Alamin," katanya di Youtube.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 12:00pm
d