utama

'Panic attack' sudah dirasai sebelum naik ke pentas' - Maya Karin

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Maya Karin hampir menolak di saat akhir untuk menjadi rakan penyampai Faizal Hussein pada Festival Filem Malaysia ke-32 yang berlangsung di Encore, Melaka, malam kelmarin kerana sudah merasai 'panic attack' atau serangan panik sebelum naik ke pentas.

Maya ketika dihubungi Harian Metro berkata, ketika itu dia sudah meminta Faizal untuk tampil berseorangan mengumumkan dua kategori utama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

"Sebelum naik atas pentas saya sudah bercakap dengan Faizal boleh tak dia umumkan dua kategori utama itu berseorangan. Bagaimanapun, dia pujuk dan yakinkan saya boleh buat dan minta saya kekal bertenang. Jadi saya pun cakap pada diri sendiri dan cuba kuatkan hati.

"Namun, sebaik berada di atas pentas fikiran saya mula terganggu melihat penonton dan kamera sedangkan sewaktu majlis Anugerah Seri Angkasa sebelum ini semuanya okey.

"Saya pun tak tahu macam mana boleh berlaku. Serangan panik ini datang tiba-tiba dan boleh dikatakan kerap juga berlaku sekarang ini apabila ada tekanan yang datang," katanya yang kali pertama berhadapan dengan situasi itu di hadapan khalayak ramai.

Menurut Maya, dia yang menghidapi serangan panik hampir empat tahun lalu belum mendapatkan sebarang rawatan, namun bercadang untuk bertemu doktor pakar dalam waktu terdekat.

"Saya tak sempat ke hospital untuk bertemu doktor pakar. Selepas menjalani penggambaran filem Telaga Suriram, saya terus ke Amerika Syarikat dan melawat empat bandar dalam tempoh tiga minggu. Kemudian saya ke Bangkok, Thailand sebanyak dua kali atas urusan kerja dan sambung berkerja di sini.

"Mungkin minggu depan saya akan jumpa doktor untuk dapatkan rawatan memandangkan rakan-rakan sudah mula risau selepas melihat keadaan saya di FFM32," katanya yang tidak pernah bergantung dengan sebarang ubat sebelum ini.

Dalam masa sama, Maya berterima kasih kepada Faizal yang sentiasa memberi sokongan dan menjadi penyelamat kepada dirinya.

"Saya terharu dengan pertolongan Faizal yang sudah mula perasan perubahan saya di atas pentas. Dia juga bantu saya ketika saya melepaskan kasut. Dia seorang yang sangat 'gentleman'.

"Walaupun saya tidak sepatutnya memegangnya tapi saya betul-betul perlukan pertolongan ketika itu. Malah dia jaga saya sampai tugas kami selesai. Orang lain mungkin tak ambil peduli dan tak faham situasi yang saya alami, tapi dia sangat ambil berat. Sampaikan kasut saya pun dia tolong pegangkan," katanya.

Kelmarin, Maya mengalami serangan panik ketika menyampaikan anugerah di FFM32 yang bersiaran secara langsung di Encore Melaka.

Situasi itu disaksikan penonton di dewan berkenaan serta penonton di rumah apabila pelakon jelita itu tiba-tiba menggigil dan gagal menyeimbangkan badan ketika membacakan anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Berita berkaitan:

Maya Karin bijak tangani situasi serangan panik

Maya Karin kena 'panic attack'

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 5:12pm
d