utama

Tragedi tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemui

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Hulu Selangor: Pasukan mencari dan menyelamat menemui dua lagi mayat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, di sini, hari ini.

Mayat bayi lelaki dan wanita dewasa itu ditemui jam 1.18 tengah hari tadi.

Difahamkan, mayat ditemui di sektor C.

Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah akan membuat sidang media berhubung perkembangan terbaru sebentar lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis sebelum ini dilaporkan berkata, peluang menemui mangsa yang masih hidup tipis.

Ini susulan keadaan runtuhan tanah yang tebal, berlumpur, berbatu serta masih terdapat aliran air.

Norazam berkata, masih terdapat aliran air bawah tanah di lokasi yang boleh menyebabkan gelongsoran.

"Jika berlaku gelongsoran, tanah akan turun dan ini menyebabkan kita hadkan jumlah pasukan penyelamat," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuh tanah itu disambung semula pada jam 8 pagi tadi.

Setakat jam 11 malam tadi, 12 lagi individu dipercayai masih lagi hilang manakala seramai 21 mangsa dilaporkan meninggal dunia.

Semalam, media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi.

Disiarkan pada: December 17, 2022 @ 1:37pm
d