utama

PU Azman dituduh buat kali ke-10 [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Ampang: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bagi satu lagi pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berumur 17 tahun.

Bagaimanapun, Azman Syah, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Ini menjadikan 10 jumlah pertuduhan terhadap PU Azman di tiga mahkamah selepas dia dihadapkan di Mahkamah Klang dengan empat pertuduhan manakala di Seremban dengan lima pertuduhan, masing-masing pada awal bulan ini serta Oktober lalu.

PU Azman didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu tengah hari, 22 Julai lalu di bilik sebuah resort di Hulu Langat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon PU Azman tidak diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam bela pendakwah selebriti itu, Mohamad Zahid Ahmad berkata, jaminan perlu diberikan kerana ia penting bagi tertuduh menyediakan pembelaan terbaik bagi kes berkenaan.

Katanya, jaminan turut diberikan kepada PU Azman dalam pertuduhan kes sama di Mahkamah Klang dan Seremban.

Mohamad Zahid berkata, pihak pembelaan percaya tidak ada alasan luar biasa mahkamah dengan budi bicaranya tidak membenarkan jaminan.

Menurutnya, ia memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik terhadap kes berkenaan serta mengikut prosiding dan syarat mahkamah ditetapkan sebelum ini.

"Saya dengan rendah diri jaminan paling minimum diberikan jika ia dibenarkan selepas Mahkamah Klang membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000, manakala RM40,000 di Mahkamah Seremban.

"Syarat sama ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini iaitu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Balai Polis Rantau, Seremban serta dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan, selain pasport ditahan di Mahkamah Seremban dan perkara itu diikuti Mahkamah Klang.

"Kakak tertuduh juga hadir dan sedia menjadi penjamin. Rayuan jaminan rendah kerana pendapatan tertuduh terjejas teruk untuk menanggung diri dan adik-beradik lain yang tidak bekerja," katanya.

Bagaimanapun Norhashimah berkata, jaminan tinggi perlu diberikan jika mahkamah membenarkannya bagi menunjukkan tahap keseriusan pertuduhan itu.

"Kita mahu memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Jaminan tinggi juga mengambil kira kes amang fizikal dan menarik perhatian umum

"Mohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan," katanya.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

"Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap awal bulan, dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan," katanya.

Sebutan semula bagi kes berkenaan ditetapkan pada 10 Februari tahun hadapan.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 11:54am
d