utama

Badi sejak 2016 berakhir

Oleh Firdaus Hashim

Yangon: Badi kekalahan sejak 2016 di Yangon akhirnya lenyap apabila skuad Harimau Malaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dengan penjaga gol negara, Syihan Hazmi dijulang sebagai penyelamat dalam aksi pertama Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna, di sini, malam tadi.

Kejayaan menggenggam tiga mata penuh itu bukan saja memadamkan rekod buruk beraksi di gelanggang keramat Myanmar itu, malah ia meletakkan skuad bimbingan Kim Pan-gon itu di landasan tepat untuk cuba melepasi peringkat kumpulan.

Begitupun, kem negara harus berterima kasih kepada Syihan yang bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti lawan di hujung permainan sekali gus memastikan kemenangan buat pasukan kebangsaan.

Dalam aksi yang berlangsung di depan 2,500 penyokong tuan rumah itu, Pan-gon hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utama daripada aksi pemanas badan terakhir ketika menundukkan Maldives 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras minggu lalu.

Tonggak Sabah FC, Stuart Wilkin menjadi pilihan berbanding Mukhairi Ajmal Mahadi untuk mengemudi jentera tengah bersama Brendan Gan.

Begitupun rentak pasukan negara agak perlahan di awal 20 minit pertama apabila diasak hebat skuad kendalian Antoine Hey menerusi beberapa percubaan berbahaya ke kubu negara.

Amaran awal tuan rumah hadir melalui percubaan Hein Htet Aung di luar kotak penalti yang sedikit tersasar di minit kelapan, sebelum giliran Aung Kaung Mann pula berjaya dihadang pertahanan negara 10 minit kemudian.

Tersentak dengan aksi pantas tuan rumah itu, anak didik Pan-gon cuba mengimbangi aksi dan hasilnya minit ke-22 percubaan leret Faisal Halim hampir menemui sasaran buat melegakan penyokong skuad The Chinthe itu.

Memasuki lima minit terakhir, Faisal sekali lagi menghadirkan cemas di kubu Myanmar namun rembatan dari luar kotak penalti melambung tinggi sekali gus mengakhiri babak pertama tanpa jaringan.

Bersambung separuh masa kedua, Pan-gon membuat percaturan 'berani mati' apabila bermain tanpa penyerang tulen apabila mengeluarkan Darren Lok dan memasukkan pemain naturalisasi, Lee Tuck yang lebih sinonim mengemudi bahagian tengah.

Bagaimanapun kemasukan Tuck nyata mengubah corak permainan Malaysia apabila dia memulakan gerakan gol pertama apabila berjaya merampas bola sebelum Safawi Rasid melorongkan bola cantik kepada Faisal, yang kemudiannya tenang menjaringkan gol di minit 52.

Terdesak memburu gol penyamaan menyaksikan tuan rumah melancarkan serangan demi serangan termasuk percubaan jauh dari Kyaw Min Oo dari jarak 40 meter hampir menewaskan Syihan yang melonjak tinggi menepis rembatan itu di minit 72.

Ketika permainan hampir menuju ke penamat, kesilapan tonggak pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar yang tertampan bola di dalam kotak penalti dan pengadil dari Jordan, Ahmad Faisal Mohammad Al Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Syihan bagaimanapun muncul wira apabila berjaya menafikan sepakan Myat Kaung Khant untuk memastikan kemenangan buat pasukan.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 8:21pm
d