utama

6 negeri dijangka dilanda banjir kilat dalam 24 jam

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Banjir kilat mungkin melanda Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Berdasarkan notis PRABN yang dikeluarkan 7 pagi ini, kawasan terbabit di Johor ialah Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).

Di Pahang, tiga daerah terbabit iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar).

Sementara itu, di Perak dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang), manakala di Selangor, ia membabitkan Klang.

Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas adalah Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu), manakala di Sabah ialah Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan).

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh berkenaan.

"Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa," menurut notis itu.

Disiarkan pada: December 22, 2022 @ 9:08am
d