utama

Watie setuju bayar ansuran lebih RM2,000 sebulan kepada Hana

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Selayang: Dua bekas anggota kumpulan Elite, Hana dan Watie hari ini setuju untuk menyelesaikan secara baik pertikaian saman penghutang penghakiman membabitkan kedua-dua belah pihak yang sudah berlarutan sejak lapan tahun lalu.

Saman penghutang penghakiman itu difailkan Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan pada 18 Mei 2017 susulan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015 dalam kes saman induk yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83.

Ganti rugi itu dituntut Hana kerana mendakwa Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali gagal menjelaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kereta Toyota Wish.

Melalui persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak hari ini, Watie yang kini aktif berlakon drama bersetuju membuat pembayaran ansuran lebih RM2,000 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang berjumlah RM796,000 termasuk faedah kepada Hana.

Peguam Mohd Fikri Abd Rahman yang mewakili Hana ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin merekodkan penghakiman persetujuan seperti dipersetujui kedua belah pihak dalam kamar hakim hari ini.

Menurut peguam itu, pembayaran yang dipersetujui itu adalah seperti yang diperintahkan mahkamah sama pada 25 Oktober 2017, tetapi Watie selaku penghutang penghakiman beberapa kali tertangguh membuat pembayaran, berkemungkinan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"Saya meminta supaya kes ini tidak dipanjangkan sebab Watie sudah bersetuju membuat pembayaran dan anak guam saya (pemiutang penghakiman) bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh penghutang penghakiman.

"Hana juga kehilangan kerja dan mungkin disebabkan itu, beliau agak beremosi terapi perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma dipersetujui, …saya minta supaya kes ini tidak dipanjangkan kerana anak guam saya setuju menerima jumlah yang dicadangkan Watie.

"Masing-masing memerlukan sumber kewangan dan Hana mengharapkan kepada kes ini untuk Watie membayar (hutang), namun bayaran itu tertangguh. Alhamdulillah, kita dapat selesaikan secara baik dan peguam juga berbincang mencari jalan terbaik," katanya.

Dalam prosiding itu, Watie diwakili peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli. Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah.

Dalam saman penghutang penghakimannya itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap jika Watie gagal hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan kegagalannya membayar hutang itu.

Dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk, Hana berkata, beliau membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kenderaan terbabit pada September 2005 untuk Watie kerana Watie tidak layak membuat pinjaman.

Menurut Hana, selepas memiliki kenderaan itu, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan beliau (Hana) diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.

Disiarkan pada: December 29, 2022 @ 2:18pm
d