utama

Mangsa letupan menjerit berlumuran darah - Saksi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Izzati Zaidi

Ampang: "Saya terdengar mangsa menjerit meminta tolong dalam keadaan tubuh badannya dipenuhi darah," kata saksi kejadian kes letupan yang meragut nyawa seorang tukang masak di sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, semalam.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Ahmad, 41, berkata ketika kejadian kira-kira 8.45 malam itu, dia dalam perjalanan menjemput anaknya di rumah keluarga mentua di Taman Bunga Matahari, Pandan Indah, di sini.

Katanya, sebelum itu dia singgah di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian sebelum terdengar bunyi letupan.

"Bunyi letupan itu sangat kuat sehingga telinga saya berdengung. Saya terus bergegas ke lokasi sebelum menemui mangsa yang meminta tolong dalam keadaan berlumuran darah.

"Saya bersama orang awam yang lain membantu mengangkat mangsa dan membawanya masuk ke sebuah kereta untuk dibawa ke Hospital Ampang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia kemudian terus menghubungi Balai Polis Pandan Indah mengenai kejadian.

"Berdasarkan maklumat orang awam di lokasi, mereka memaklumkan terdapat serpihan letupan mengandungi bateri, belerang, pisau dan 'power bank' (pengecas mudah alih).

"Saya dimaklumkan oleh pekerja restoran berkenaan bahawa mangsa ada menerima panggilan telefon memintanya mengambil barang di luar (restoran berkenaan) beberapa minit sebelum kejadian," katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian, hari ini mendapati beberapa premis berhampiran restoran berkenaan turut ditutup dengan dikelilingi tali pita oleh pihak polis.

Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilihat berada di lokasi kejadian pagi tadi.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan tukang masak lelaki maut maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet sebuah kereta meletup, kira-kira 8.155 malam semalam.

Mangsa berusia 28 tahun sebelum itu memegang bungkusan berkenaan sebelum itu meletup menyebabkannya parah di badan dan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, satu jam kemudian.

Disiarkan pada: December 30, 2022 @ 2:52pm
d