utama

'Tak sangka itu kali terakhir bertemu cucu' [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: "Saya jumpa cucu sulung (Syaza Alfisya Muhammad Fauzan, 10) dan adiknya Muhammad Al Qayyum Muhammad Fauzan, 7, minggu lalu, ketika mereka sekeluarga balik ke kampung meraikan hari lahir ke-53 saya dan tak sangka itu kali terakhir bertemu,"

Begitu kata Lokman Marni, 53, datuk kepada dua beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Simpang Tiga, di sini, hari ini.

Lokman berkata, anak dan cucunya itu menghadiri majlis hari lahirnya di Sungai Besar, Sabak Bernam pada 26 Disember lalu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kebakaran itu selepas terjaga kira-kira 4 pagi dan melihat ada dua panggilan tidak dijawab pada telefon.

"Saya difahamkan anak dan menantu saya keluar makan sekitar 3 pagi kerana kelaparan.

"Anak saya dihubungi jiran yang memaklumkan rumah mereka terbakar. Sejurus itu, anak saya tiba tetapi kawasan rumah tidak dapat didekati berikutan bomba sedang memadamkan sisa kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Katanya, anak perempuanya sedang sarat mengandung lapan bulan cedera terpijak kaca dan dia dibawa ke Hospital Selayang untuk merawat luka dan pemeriksaan kandungan.

"Menurut anak saya, arwah kakak berdekatan almari baju dan adiknya di sebelah katil dalam bilik utama," katanya.

Dia juga tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila hilang dua cucu sekali gus, ketika mereka sedang menunggu kehadiran bakal anak dalam masa sebulan lagi.

Katanya, kedua-dua jenazah itu akan dikebumikan di Kampung Changkat yang terletak berhampiran selepas selesai bedah siasat di Hospital Selayang.

Sementara itu, jiran mangsa, Rahmat Razali, 33, berkata, beliau terjaga daripada tidur selepas terdengar bising daripada jiran yang lain pada 3.30 pagi.

"Saya ingatkan rumah binaan papan di hujung yang terbakar tetapi apabila bangunrupanya rumah sewa tiga pintu milik ayah yang terbakar.

"Pada ketika itu, api sedang marak dan kami jiran-jiran dan anggota bomba bantu padamkan kebakaran.

"Saya cuba memanggil orang yang ada dalam rumah tetapi tiada sahutan, pintu depan pula bermangga. Saya ingatkan tiada orang, tetapi kemudian ada jiran maklumkan ada dua kanak-kanak dan ibu bapa mereka tiada," katanya.

Katanya, rumahnya dan kediaman yang terbakar itu hanya dipisahkan dengan satu laluan dan rumah berkenaan dibina lewat tahun 1990-an.

"Saya dan jiran-jiran bantu mengalihkan kenderaan dan motosikal kerana benar-benar menyangka tiada sesiapa di rumah.

"Daripada kebakaran itu, saya jangkakan lebih RM200,000 kerugian dialami kerana rumah sebenarnya juga turut terbakar," katanya.

Berita berkaitan:
Dua beradik ditemukan rentung

Disiarkan pada: January 2, 2023 @ 11:43am
d