utama

Fyna mengaku sudah berkahwin dengan Zainal

Oleh Ramlah Zainal

Shah Alam : "Alhamdulillah, saya telah pun bernikah. Terima kasih banyak-banyak. Harap doakan saya dan keluarga," kata Fyna Jebat ketika diminta mengulas dakwaan dirinya sudah berkahwin dengan bekas pengendali Penang FC dan Melaka United, Datuk Zainal Abidin Hassan, 61, yang tular di media sosial ketika ini.

Namun Fyna atau nama sebenar, Nur Syafinaz Jebat, 29, yang juga adik kepada penyanyi terkenal Ayda Jebat berkata, dia tidak dapat mengulas butiran terperinci mengenai majlis pernikahannya itu.

    "Apa yang saya boleh beritahu, suami beri sokongan untuk saya memasuki Famili Duo,"katanya.

Fyna ditemui pada sidang media selepas persembahan konsert mingguan Famili Duo yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, sebentar tadi.

   Sementara itu, Ayda pula berkata, dia berasa lega dengan pendedahan adiknya itu kepada pihak media.

    "Rasanya, tidak ada apa yang perlu diluahkan lagi. Saya bangga apabila adik saya dapat dedahkan pada semua orang.

    "Buat masa ini fokus kami pada Family Duo,"katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan seorang bekas jurulatih Liga Super berusia lingkungan 60-an membuktikan beliau masih lagi laku selepas berkahwin kali kedua dengan wanita berusia 29 tahun.

Wanita dikahwini itu bukanlah calang-calang kerana dikhabarkan seorang artis yang juga adik kepada pelakon dan penyanyi terkenal tanah air.

Menurut sumber, pasangan terbabit berkahwin, baru-baru ini, namun hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat sahaja.

Mengikut rekod, jurulatih berkenaan berkahwin kali pertama pada 1980-an dan dikurniakan tiga anak.

Zainal Abidin cukup terkenal sebagai penyerang skuad kebangsaan era 1980-an dan 90-an yang membantu Malaysia meraih pelbagai kejayaan.

 

Disiarkan pada: January 9, 2023 @ 12:41am
d