utama

Lesen jurulatih tampar pemain dibatalkan [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) senada dengan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) untuk membatalkan lesen jurulatih yang menampar dua pemainnya dalam kejadian tular baru-baru ini.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata, sebagai langkah awal jurulatih itu yang juga seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan terbabit termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah.

Beliau berkata, MAVA juga sudah menarik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap Satu (Sukan Spesifik) jurulatih itu.

"Jurulatih itu bahkan belum pernah membuat permohonan lesen kejurulatihan Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sebagai pengiktirafan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) seperti dipersetujui bersama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara (ISN) dengan persatuan sukan kebangsaan.

"KBS dan KPM tidak akan sesekali berkompromi khususnya dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet khususnya mereka yang masih diperingkat usia muda yang mana sudah tentu mampu memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara.

"Majlis Sukan Negara dan MAVA sudah memuktamadkan siasatan mereka yang mana secara sebulat suara memutuskan jurulatih bola tampar itu sepatutnya hilang kelayakan menjadi jurulatih," katanya pada sidang media bersama KBS dan KPM di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, KBS juga sudah mengarahkan AKK ISN memastikan pelaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperoleh mereka sebagai pengiktirafan SPKK setiap dua tahun dapat diperketatkan.

Sementara itu Fadhlina berkata, siasatan KPM berkait insiden itu sudahpun selesai dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh mengambil tindakan sewajarnya selaras Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau berkata, siasatan dibuat secara menyeluruh membabitkan semua pihak berkaitan termasuk jurulatih, murid, rakan sepasukan , guru, pengurus pasukan, saksi kejadian dan ibu bapa pemain terbabit.

Katanya, KPM sudah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan itu daripada pelbagai sudut khususnya etika serta imej profesyen guru.

"Selaras peraturan itu, JPN boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan tindakan tidak wajar, melanggar peraturan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan pertikain oleh masyarakat melalui aspek keselamatan yang diterapkan oleh guru terhadap murid.

"Insiden terbabit membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah untuk menjadi sebahagian daripada SLKK dan SPKK.

"Justeru KPM akan bekerjasama rapat dengan ISN bagi melengkapkan jurulatih kepada pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan, ini penting bagi menyediakan persekitaran sihat dan selamat, saling hormat serta bebas sebarang bentuk gangguan dan penderaan," katanya.

Rakaman jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar, tular dalam media sosial dan mendapat kecaman ramai.

Klip video tular berkenaan memaparkan jurulatih terbabit menampar dua pemain wanitanya ketika Kejohanan Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Susulan insiden itu, MAVA mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka B14 berkenaan.

Bagaimanapun, ibu bapa kepada atlet remaja yang ditampar itu memohon supaya jurulatih terbabit dikekalkan dengan meminta semua pihak menghentikan kecaman mahupun mengambil sebarang bentuk tindakan.

Ini kerana, mereka yakin tindakan jurulatih itu hanya untuk memberikan sesuatu yang terbaik kepada pasukan bola tampar berkenaan.

Berita berkaintan:
Jurulatih bola tampar tampil mohon maaf

Kami dah maafkan jurulatih bola tampar - Bapa [METROTV]

KPM jumpa ibu bapa pemain ditampar jurulatih [METROTV]

Atlet bola tampar kena 'penampor'

Disiarkan pada: January 12, 2023 @ 2:27pm
d