utama

Paksa bayar walaupun tak pinjam

Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Lumpur: Tidak perlu disajikan janji manis, tetapi dengan hanya menekan butang muat turun, pengguna akhirnya terjerat dengan bebanan hutang 'menakutkan'.

Melalui data yang diperoleh, tekanan dan ugutan yang diberikan along atau ceti haram lebih dahsyat, bukan sahaja kepada mangsa malah kenalan rapat sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

Semakan di beberapa aplikasi rasmi muat turun sistem operasi (OS) telefon bimbit mendapati, aplikasi itu mudah diperoleh sekali gus menjadi senjata baharu along untuk menjerat mangsa ke kancah bebanan hutang alaf baharu.

Dengan hanya memuat turun aplikasi berkenaan, along dapat mengakses segala data peribadi di dalam peranti mangsa termasuk kamera hadapan, video, gambar, nombor telefon, lokasi dan e-mel.

Segala data yang diperoleh akan disunting sebelum disebarkan kepada keluarga, majikan dan rakan-rakan untuk tujuan mengaib, memeras dan memalukan mangsa.

Hasil siasatan dan temubual yang dijalankan, kesemua mangsa hanya membuat pinjaman bermula RM50 hingga RM300 tetapi terpaksa membayar bunga 300 kali ganda daripada jumlah dipinjam.

Malah, ada yang belum membuat apa-apa pinjaman tetapi tetap diugut kumpulan itu dengan ugutan yang tidak masuk akal hasil godaman data peribadi yang diperoleh mereka.

Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (PHMM) Mohammad Mustafa Shaik Ismail berkata, pihaknya kecewa kerana masih ramai yang terpedaya dengan aplikasi berkenaan.

"Sekarang, kalau kita lihat, makin ramai yang tertipu dengan along. Malah dalam sehari, 15 hingga 25 peminjam datang ke pejabat kami untuk minta bantuan kerana terjerat dengan along.

"Malah ada dalam kalangan mereka langsung tidak membuat pinjaman tetapi hanya berminat membuat pinjaman, namun mereka turut dipaksa bayar hutang yang tidak dipinjam kerana along akan gunakan data peribadi mereka untuk memeras ugut," katanya.

Mustafa berkata, pihaknya ada berhubung dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat aplikasi itu namun pihaknya diminta untuk membuat laporan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menceritakan pengalaman perit berhadapan dengan ugutan sindiket berkenaan, seorang bekas jurutera yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsul (bukan nama sebenar) berkata, hidupnya berubah sehingga disahkan menghidap masalah mental akibat along.

"Ketika melihat aplikasi itu, saya rasa tidak berminat tetapi kerana ingin tahu, saya tekan butang muat turun.

"Sebaik menekan butang itu, segala maklumat dan data saya digodam, ia termasuk video dan gambar.

"Malah, along turut menghubungi dan memaksa saya untuk membuat pinjaman. Jika saya enggan, mereka mengugut untuk menyebarkan segala maklumat dan data peribadi saya," katanya.

Menurut Shamsul, video dan gambar yang terdapat dalam telefonnya disunting pihak ketiga sebelum disebar kepada ahli keluarga.

"Disebabkan hal itu, saya dibuang kerja dan dibuang ahli keluarga sehingga mengalami tekanan sebelum disahkan sebagai pesakit mental.

"Syukur kerana PHMM memberi semangat dan membantu saya menyelesaikan masalah terbabit," katanya.

Seorang lagi mangsa, Amir (bukan nama sebenar), pula hampir membunuh diri akibat tekanan daripada along.

"Bila mereka dapat maklumat kita, mereka akan guna segala data itu termasuk mengugut ahli keluarga.

"Saya mula hilang kewarasan dan cuba membunuh diri kerana mereka memberi tekanan dengan mengugut mahu membunuh ahli keluarga dan membakar rumah kami," katanya.

Sementara itu, SKMM memaklumkan, pihaknya ada menerima beberapa laporan berkenaan sindiket aplikasi berkenaan.

Ketua Pegawai Selia SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata, sehingga Julai tahun lalu, enam akaun dan laman iklan pinjaman wang tidak berlesen dihapuskan pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil langkah dengan merujuk 17 aplikasi yang didakwa tidak berlesen kepada KPKT.

Disiarkan pada: January 14, 2023 @ 8:00am
d