utama

75 tahun jadi pelarian

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Lubnan: Ketika terpaksa lari meninggalkan negara mereka yang dilanda peperangan, hati masing-masing berkata: "Ini hanya untuk sementara. Selepas perang selesai tak lama lagi, aku akan pulang semula ke kampung halaman."

Malangnya, itu belum berlaku. Sehingga kini, ia kekal ibarat mimpi yang amat jauh daripada realiti.

Bagi pelarian Syria, sudah 10 tahun mereka diulit mimpi itu. Buat rakan senasib dari Palestin pula, ia lebih menyakitkan kerana tempohnya kini mencecah 75 tahun.

Lubnan, antara negara jiran yang menjadi destinasi pilihan rakyat Syria dan Palestin ketika lari menyelamatkan diri.

Negara dipagari Laut Mediterranean di sebelah barat itu berjiran dengan Syria di bahagian utara dan timur. Bumi Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel pula berkongsi sempadan dengan Lubnan di bahagian selatan.

Lubnan sebuah negara kecil. Untuk senang faham, keluasannya cuma lebih kurang negeri Kedah. Jumlah populasinya pula cuma empat juta.

Namun kebanjiran pelarian, terutama dari Syria dan Palestin menjadikan jumlah penduduk kini meningkat kepada enam juta.

   

KRISIS EKONOMI TERBURUK

   

Penulis baru-baru ini mengikuti misi bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria dan Palestin di Lubnan bersama-sama sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia (MCM).

Sejurus meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri, kami menikmati makan malam sebelum dikejutkan dengan harga makanan untuk tujuh orang ialah 2 juta Lira Lubnan (penduduk tempatan menggunakan istilah Liban), atau lebih kurang RM200.

Itulah kejerihan penduduk Lubnan pada masa ini. Ketika ia diharap oleh pelarian Palestin dan Syria menjadi penyelamat, negara itu terjebak dalam krisis ekonomi dan politik yang menghimpit kehidupan rakyatnya.

Nilai mata wang Liban merosot teruk sejak krisis bermula pertengahan 2019. Jika sebelum itu, nilainya berbanding dolar Amerika (AS$) ialah 1,500 Liban bersamaan AS$1, ia merosot secara konsisten hingga kini menjadi 41,000 Liban bersamaan AS$1.

Perubahan itu menunjukkan kemerosotan mencecah 30 peratus. Pada 2018, harga satu "shwarma" (makanan popular di Lubnan) ialah 6,000 Liban, kini harganya cukup mahal iaitu 180,000 Liban.

Dulu, purata pendapatan bulanan penduduk Lubnan ialah RM1,800 tapi kini nilainya tak sampai RM150 dan kadar pengangguran kini dikatakan sudah melebihi 40 peratus.

Menurut laporan penilaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kemerosotan nilai mata wang amat teruk itu menjadikan tiga perempat daripada populasi Lubnan kini termasuk dalam kategori miskin.

 RAKYAT DAN PELARIAN SENGSARA BERSAMA

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, situasi terkini di Lubnan itu amat mengejut pihaknya.

"Kami tahu Lubnan sedang dilanda krisis ekonomi dan politik kerana negara ini masih gagal melantik Presiden baru selepas penyandang tamat tempoh perkhidmatan tiga bulan lalu.

"Tapi tak sangka ia seburuk ini hingga semua barang mahal, membuatkan taraf hidup menjadi amat tinggi," katanya.

Beliau berkata, NGO tempatan yang membantu MCM mengagihkan dana untuk pelarian memberitahu, bantuan kini terpaksa juga disalurkan kepada penduduk tempatan yang semakin terhimpit.

"Bagaimanapun, MCM hanya memfokuskan bantuan kepada pelarian kerana itulah amanah rakyat Malaysia yang memberi sumbangan melalui kami," katanya.

Menurutnya, untuk misi kali ini, MCM yang bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Al Mannar (Al Mannar) memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk 600 keluarga pelarian Syria dan Palestin atau lebih kurang 3,000 orang.

70,000 RIBU PELARIAN SYRIA DI ARSAL

Zulkifli, berkata, dalam misi selama seminggu itu yang bermula 2 Januari lalu, 100 keluarga pelarian Syria yang tinggal di dua kem di Tripoli menjadi kelompok penerima kotak makanan, selimut dan 20 liter diesel setiap satu keluarga.

Sehari kemudian, sukarelawan berkunjung ke kawasan tanah tinggi Arsal di utara Lubnan yang menempatkan 70,000 pelarian Syria.

Sebaik tiba, dari jauh khemah pelarian kelihatan bak tompok putih. Semakin hampir ia semakin jelas dan sebahagian besar tertumpu di kawasan lembah kerana tanahnya lebih rata.

Suhu ketika itu 5 Celcius, ditambah pula hembusan angin dari puncak gunung berdekatan, kesejukan amat mencengkam.

Dalam kesejukan itu dengan salji bakal dalam tempoh seminggu dua lagi, mereka sekadar berlindung di dalam khemah diperbuat daripada kanvas.

Kebanyakan khemah sudah usang, reput dan koyak di sana-sini akibat dimamah usia. Mereka tidak boleh membuat binaan kekal menggunakan simen atau kayu kerana itu dilarang pihak berkuasa Lubnan.

Zulkifli berkata, untuk agihan di Arsal, seramai 350 keluarga pelarian Syria menerima sumbangan serupa yang nilainya ialah RM350 untuk satu keluarga.

"Selain itu kami turut menyerahkan wang tunai kepada beberapa keluarga yang ahli keluarga mereka menghidap penyakit kronik," katanya.

Seorang penerima sumbangan di Arsal berkata sepanjang 10 tahun tinggal di situ inilah sumbangan paling banyak pernah diterima.

"Tak pernah kami dapat makanan sebanyak ini yang boleh bertahan hingga sebulan. Terima kasih rakyat Malaysia... semoga Allah merahmati kamu," katanya.

Ditanya bagaimana kehidupan di kawasan itu, dia berkata:

"Anda lihat lah sendiri kesusahan kami. Hanya Allah tempat kami mengadu.

"Saya sama sekali tidak menjangka akan tinggal dalam keadaan begini sehingga 10 tahun. Saya ingin sangat pulang ke Syria tapi tak tahu bila itu boleh berlaku."

PELARIAN SEPANJANG HAYAT

"Saya dilahirkan di sini (kem Sabra dan Shatila) dan generasi ketiga daripada keluarga saya yang tinggal sebagai pelarian, " kata wanita berusia 30 tahun yang mahu dikenali sebagai Aisha.

Jauh di sudut hatinya wujud keinginan untuk keluar daripada kawasan tempat tinggal yang amat menyesakkan bagi membina hidup baru dan kalau boleh, pulang ke kampung halaman ibu bapanya di Palestin.

Disiarkan pada: January 15, 2023 @ 7:00am
d