utama

Dengar suara Mak Misah mengerang kesakitan [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Jasin: "Ketika sedang minum, saya tiba-tiba terdengar suara Mak Misah seperti mengerang kesakitan dari arah pintu dapur," kata jiran wanita warga emas yang maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini, hari ini.

Dia yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian dia yang tinggal bersendirian terjaga dari tidur sekitar jam 1.50 pagi sebelum ke dapur untuk minum.

"Tiba-tiba saya dengar suara Mak Misah mengerang kesakitan. Saya kemudian mengintai dari celah tingkap.

"Kira-kira 20 minit kemudian saya terkejut melihat seorang lelaki berlari keluar dari dapur rumah wanita itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku terhadap jirannya itu, saksi itu berkata, dia kemudian mengekori lelaki terbabit yang menuju ke jalan besar.

"Selepas melihat keadaan selamat, saya segera memanggil jiran sebelah dan menceritakan kejadian itu sebelum menghubungi polis untuk bantuan," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, polis menemukan mangsa Misah Md Amin, 91, yang tinggal seorang diri dalam keadaan terbaring di bahagian dapur.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira 8 pagi.

Disiarkan pada: January 20, 2023 @ 4:38pm
d