utama

Rezeki seni Jasper

Oleh Najiy Jefri

MEMULAKAN langkah dalam bidang seni sebagai penyanyi menerusi program Akademi Fantasia 2016, Jasper Supayah bersyukur apabila kehadirannya masih diterima baik dan menerima pelbagai rezeki yang tidak dijangka.

Walaupun karier nyanyiannya agak tenggelam timbul, namun Jasper boleh dianggap antara 'bunga' yang sedang mencipta kejayaan menerusi cabang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan.

Tidak pernah berputus asa untuk melebarkan sayap dalam bidang nyanyian, Jasper berharap tahun ini memberi tuah kepada dirinya untuk dikenali sebagai penyanyi.

"Karier nyanyian tidak akan pernah padam kerana saya bermula sebagai penyanyi menerusi program Akademi Fantasia 2016.

"Saya sedar rezeki dalam bidang nyanyian belum berpihak kepada saya, tetapi saya tidak akan berhenti berjuang dan sanggup menunggu lama serta keluarkan banyak single untuk berjaya.

"Saya anggap tahun-tahun sebelum ini belum rezeki untuk lagu saya dikenali, tapi saya tidak akan berhenti dan sentiasa percaya setiap usaha pasti membuahkan hasil.

"Sekarang ini saya hanya perlu bersabar dan berusaha keras untuk berjaya. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila rezeki saya dalam bidang lakonan dan pengacaraan tidak putus dan diterima baik," katanya.

Melihat rakan seangkatannya yang sudah mencipta nama seperti Amir Masdi dan Ara Johari, Jasper nyata tumpang bangga dan tidak pernah berasa tertekan apabila nasib belum menyebelahinya.

"Saya akui dalam bidang nyanyian ini saya banyak kelemahan dan perlu menimba ilmu dengan guru vokal.

"Tambah pula saya dah lama tak fokus dalam karier nyanyian sedangkan saya masuk dalam dunia hiburan ini sebagai penyanyi.

"Azam tahun ini nak fokus dalam vokal supaya single yang bakal dikeluarkan mampu mencipta momen terindah dalam hidup saya," katanya.

Siapa sangka tahun ini sudah tujuh tahun pembabitan Jasper dalam dunia seni dan tanpa disangka kehadirannya sebagai wanita kacukan India dan Cina diterima baik oleh industri Melayu.

"Tempoh tujuh tahun berada dalam bidang seni sentiasa membuatkan saya bersyukur dan berasa bertuah kerana diterima baik oleh pelbagai pihak.

"Walaupun saya berdarah kacukan India dan Cina, tapi saya masih mampu mencari 'makan'. Malah, mereka tidak pernah pandang saya seperti orang luar.

"Sepanjang terbabit dalam dunia seni, saya juga belajar banyak perkara terutama budaya masyarakat orang Melayu. Saya akui semakin jatuh cinta dengan budaya dan adat orang Melayu," katanya.

Beralih mengenai perancangan dalam bidang seni, Jasper menyimpan keinginan besar untuk memastikan karier seninya terus berkembang dan maju.

Kata wanita berusia 30 tahun ini, fokus utamanya adalah untuk memberi tumpuan kepada watak aksi yang bakal dijayakan dalam sebuah filem.

"Doakan semoga tahun ini akan mencipta satu impak luar biasa dalam karier seni. Ini kerana, saya bakal terbabit dalam sebuah filem aksi, tapi saya tidak dapat berkongsi butirannya lagi.

"Tetapi, sejak tahun lalu saya sudah mula menyertai latihan mempertahankan diri sebagai persiapan sebelum memasuki set nanti.

"Saya akui terbabit dalam filem aksi ini tidak mudah, tapi jika kita terus berusaha dan tidak putus asa tiada apa yang mustahil," katanya.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadi, Jasper mengaku masih solo dan belum bersedia mempunyai komitmen dalam perhubungan.

"Tahun ini saya hanya nak fokus kerja dan cuba teroka cabaran baharu dalam bidang seni.

"Saya enggan terikat dengan komitmen cinta buat masa ini. Namun, jika ada yang kenal dan tiba-tiba individu itu tidak boleh menerima kerjaya yang ingin saya bina ini, saya sedia untuk solo saja," katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2023 @ 6:00am
d