utama

Ramai fikir nak berhenti kerja

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Satu kajian mendedahkan sistem penjagaan kesihatan negara berada di ambang krisis apabila petugas sektor itu melahirkan rasa tidak puas hati dengan situasi semasa tempat kerja mereka.

Rumusan itu hasil tinjauan dilakukan portal berita kesihatan, CodeBlue bulan ini terhadap pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi, doktor gigi, pembantu perubatan, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan bersekutu di seluruh negara berusia antara 20-an hingga 60 tahun.

Sebanyak 95 peratus daripada 1,652 responden dalam soal selidik pendapat secara dalam talian itu percaya sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia kini berada dalam krisis.

Lebih merisaukan 73 peratus responden membabitkan 1,205 orang menyatakan mereka berfikir untuk berhenti daripada perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Manakala 52 peratus (867 orang) berkata, mereka akan mengambil bahagian dalam mogok jika dianjurkan untuk pekerja penjagaan kesihatan awam.

Selain itu, satu pertiga iaitu 34 peratus (557 orang) tidak pasti tentang pendirian mereka.

Secara keseluruhan, lebih 1,400 profesional penjagaan kesihatan kerajaan sama ada bersedia atau tidak pasti mengenai berhenti daripada kerja.

Tinjauan bertajuk Ketidakpuasan Dalam Kalangan Profesional Penjagaan Kesihatan dan Pekerja dalam Perkhidmatan Kesihatan Malaysia itu bertujuan mengenal pasti sama ada pekerja penjagaan kesihatan kerajaan kecewa di tempat kerja dan apakah jenis isu tempat kerja yang mereka hadapi.

Pada skala sifar (tidak marah) hingga empat (berang), lebih separuh (53 peratus) responden mengatakan mereka berang iaitu tahap kemarahan tertinggi terhadap situasi sedia ada dalam kesihatan awam sistem penjagaan.

Lebih satu perempat (27 peratus) sangat marah manakala 13 peratus marah dan hanya dua peratus mengaku tidak marah.

Sebanyak 83 peratus (1,365 orang) merasakan kerajaan tidak serius menangani isu dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Lapan daripada 10 responden dalam tinjauan itu berkata, mereka terlalu banyak bekerja dan bergaji kurang.

Hampir tiga perempat (74 peratus) pula menyatakan mereka letih manakala enam daripada 10 individu menyatakan rasa tidak selamat tentang perkembangan kerjaya mereka.

Satu perempat (25 peratus) responden menyatakan mereka dibuli di tempat kerja manakala dua peratus (35 orang) berkata, mereka menghadapi gangguan seksual di tempat kerja.

Bagi Tema Aduan: Beban Kerja Berat, Kekurangan Kakitangan, Gaji Tidak Adil, Kekurangan Peralatan pula menunjukkan 17 peratus responden (288 orang) menulis respons verbatim tentang isu yang mereka hadapi di tempat kerja.

Aduan mereka secara amnya berkaitan beban kerja tinggi, kekurangan kakitangan, gaji tidak adil, kemudahan dan peralatan tidak mencukupi serta ketidakpadanan pekerjaan.

Selain itu, aduan juga membabitkan beban pelbagai program dan perkhidmatan tambahan untuk pesakit dalam keadaan kekurangan kakitangan yang teruk seperti perkhidmatan nilai tambah (VAS) dalam program farmasi dan pergigian sekolah.

Seorang pegawai perubatan (MO) kontrak yang bertugas di sebuah hospital awam menekankan tentang perbezaan gaji dan faedah antara MO tetap sedia ada dan mereka yang baharu dilantik ke jawatan tetap.

"Jika anda MO kontrak, katakan dari 2018 sebelum mendapat jawatan tetap pada 2022 masih mendapat gaji asas sama dan gaji hanya meningkat empat tahun selepas bekerja tetap.

"Secara peribadi, saya sedang berusaha mencari pekerjaan di luar negara.

"Saya tidak mahu terus bekerja dan terperangkap dalam sistem yang tidak menghargai kerja yang saya lakukan dan tidak mementingkan kebajikan pegawai," katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2023 @ 7:01am
d