utama

Lebih 50 kali tulang patah [METROTV]

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: "Jangankan kata terjatuh, dalam keadaan hanya tersentak dan terkejut saja sudah memadai mengakibatkan tulang anak saya patah," kata Norhayati Tiimat, 40, dari Losong Haji Su, dekat sini.

Menurutnya, anaknya, Muhammad Raihan Jamaluddin, 7, menderita penyakit tulang lembut sejak dilahirkan dan hingga kini dia anggarkan lebih 50 kali anaknya mengalami kepatahan tulang.

Katanya, setiap satu atau dua bulan pasti berlaku kejadian patah tulang dialami anaknya sama ada tulang lengan, peha mahupun bahu.

Norhayati berkata, tiga anggota itu amat sensitif dan mudah patah walaupun anaknya hanya tersentak atau terkejut dengan persekitaran sekeliling.

"Kali pertama tulang tangan Muhammad Raihan patah ketika usianya 40 hari dan ketika itu saya amat cemas memandang usianya yang masih kecil.

"Kini kegusaran itu kurang sedikit memandangkan saya sudah tahu tulang anak saya mudah patah namun tetap berhati-hati bagi mengelak kejadian sama kerap berulang.

"Kali terakhir tulang Muhammad Raihan patah pada Januari lalu dan setiap kali patah saya akan membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurutnya, memandangkan tulang anaknya amat sensitif dan mudah patah, Muhammad Raihan kini tidak dapat bersekolah dan setiap hari dia akan membawa anaknya menemaninya di bangsal menjahit kasut.

Katanya, sejak kematian suami empat tahun lalu, dia mengambil tugas sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai penjahit kasut bagi menampung perbelanjaan harian dan sewa rumah.

Norhayati berkata, arwah suaminya, Jamaluddin Yaacob meninggal dunia akibat penyakit jantung dan dikategori orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal.

Menceritakan penyakit yang dialami anaknya, Norhayati berkata, setiap kali anaknya mengalami patah tulang dia akan membalut bahagian yang patah sebelum membawa anaknya ke hospital.

"Anak saya boleh berkomunikasi seperti biasa dan apabila mengalami kejadian patah tulang biasanya dia menangis kesakitan.

"Namun, penyakit ini tiada ubatnya dan saya perlu menjaga anak saya seperti bayi kerana Muhammad Raihan, tidak boleh makan dan minum secara sendiri kerana ia perlu disuap selain tidak boleh berjalan," katanya.

Menurutnya, paling ketara dapat dilihat adalah kesan patah padan lengan dan lembutnya tulang itu hinggakan bahagian sama boleh kembali patah apabila berlaku sama ada tersentak mahupun terhantuk.

Katanya, dia pernah juga membawa anaknya mendapatkan rawatan tradisional untuk membetulkan kembali tulang yang patah namun kejadian sama tetap berlaku apabila tulang anaknya sering patah.

"Mujur saya boleh menjahit kasut sekurang-kurangnya anak berada di hadapan mata saya setiap masa," katanya.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah datang melawat dan melihat permasalahan anaknya dan menasihatkan supaya anaknya dihantar ke sekolah seperti kanak-kanak yang lain.

Namun katanya, memandangkan penyakit anaknya agak rumit kerana sekiranya tersilap boleh mengakibatkan patah tulang dan dia pula perlu bekerja bagi menyara kehidupan membuatkan dirinya dalam dilema untuk membuat keputusan.

Disiarkan pada: February 2, 2023 @ 2:03pm
d