utama

Semuanya hanya RM1 sepaket [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Mas: Pelbagai jenis kuih-muih Kelantan dijual pada harga hanya RM1 sepaket di Pasar Tasek Raja di sini, sekali gus sering menjadi tumpuan pengunjung setiap hari.

Antara kuih-muih yang dijual termasuk donut, cekodok, karipap, sardin gulung dan cucur badak yang mengandungi empat biji sepaket selain bihun goreng, mi goreng serta kuetiau goreng juga dijual RM1 sepaket.

Difahamkan, harga RM1 berkenaan sudah menjadi tradisi sejak puluhan tahun lalu, cuma yang membezakan adalah kuantiti susulan kenaikan harga barang.

Peniaga, Azizah Salleh, 62, berkata, dia berniaga kuih-muih sejak 22 tahun lalu dan lebih 30 kuih dijualnya pada harga RM1.

Menurutnya, ketika mula berniaga dulu, dia menjual lapan biji kuih pada harga RM1 namun semakin berkurangan kerana kenaikan harga barang sebelum berkurangan kepada empat biji, kira-kira tiga tahun lalu.

"Bagaimanapun, empat biji kuih dengan harga RM1 masih lagi dianggap murah dan disebabkan itu ramai yang datang membelinya setiap pagi terutama mereka yang mempunyai anak-anak ramai.

"Selain membuat sendiri kuih-muih ini, banyak juga kuih yang diambil dari penduduk kampung berdekatan. Alhamdulillah, sambutan terhadap kuih-muih ini begitu menggalakkan," katanya.

Ditanya sama ada harga yang dijual itu masih memperoleh untung kerana murah, Azizah berkata, walaupun murah untung tetap ada namun tidak banyak.

"Alhamdulillah dengan menjual kuih-muih murah ini juga, saya mampu membesarkan enam anak. Saya juga tidak tergamak untuk menaikkan harga kuih-muih walaupun harga barang saban tahun semakin meningkat.

"Selain saya, terdapat empat lagi peniaga kuih-muih di pasar ini dan kami mengenakan harga yang sama," katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 7:00am
d