utama

Mayat bayi dibalut kain, dibuang dalam sampah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Serdang: Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan berbalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg oren ditemui di dalam kotak sampah di hadapan rumah kebajikan di Lestari Perdana 1, Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, mayat yang berkulit cerah itu ditemui pekerja pengutip sampah, 9.30 pagi tadi.

Menurutnya, anggota bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan Mers 999 dimaklumkan berlaku kes pembuangan bayi pada 10.05 pagi.

"Mayat bayi akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan pihak polis mengalu-alukan jika ada sebarang maklumat mengenai kelahiran bayi terbabit boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 4:07pm
d