utama

Lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul rangkul juara AJL37

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul hasil ciptaannya sendiri diumumkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

   Kemenangan ini membolehkan Aina  berjaya membawa pulang hadiah utama RM100,000 berserta trofi. 

   Tempat kedua pula dimenangi lagu Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne, ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

  Manakala, lagu Kenangan Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo meraih tempat ketiga, dengan RM30,000 berserta trofi. 

   Anugerah Vokal Terbaik pula dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Terus Hidup yang berjaya membawa pulang RM12,000 berserta trofi. 

   Kategori Persembahan Terbaik dimenangi Shiha Zikir menerusi lagu Irama ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves sekali gus berjaya meraih RM12,000. 

   Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa pula milik Khai Bahar dengan meraih hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi. 

   AJL37 membariskan 10 juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail serta dibantu oleh Datuk Acis, Altimet, Noryn Aziz, JARI, Ad Samad, Azlan Abu Hassan Khir Rahman, LY dan Damian. 

   Pengacara AJL37 pula adalah  gandingan rakan baik, Sherry Alhadad dan Jihan Muse manakala Karpet Merah Tonton AJL37 dihoskan Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy.

   Mereka yang strim langsung di www.tonton.com.my pula dapat mengikuti program Backstage AJL37 yang dihoskan oleh Nadia Hasnan dan Imran Aqil. 

   Selain siaran langsung di TV3, AJL37  juga distrim langsung secara HD, eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my

   AJL37 menampilkan Alha Alfa Cosmetics selaku penaja utama, dikuasai oleh Samsung Galaxy S23 Series dan MYTV sebagai rakan penaja. 

   Termasuk menampilkan Tonton sebagai platform penstriman eksklusif AJL37, Hot FM sebagai Rakan Radio serta Oh Bulan, Seismik dan Xtra sebagai Rakan Digital.

   Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Azlan The Typewriter (Lagu Untukmu), De Fam & Wany Hasrita (7 Nasihat - Etnik Kreatif), Kaka Azraff dan Syamel (Nuri - Rock) dan Tuju, Loca, Syamel dan Waris (Mentera Semerah Padi & Mantera Beradu - Etnik Kreatif & Hip Hop).

   Pentas AJL37 turut digegarkan dengan persembahan hebat daripada tiga kumpulan band Malaysia iaitu Exist (Janji Padamu / Langkah Seiringan), Blues Gang (Apo Nak Dikato / Khatulistiwa) dan  Kugiran Masdo (Teruna & Dara / Bunga) di samping dendangan muzik di bawah pengarah muzik Datuk Ramli MS. 

   

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 1:05am
d