utama

Bapa sebabkan kematian anak didenda, dikenakan khidmat masyarakat 120 jam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang bapa yang cuai sehingga menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan dihukum denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Siti Aminah Ghazali selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, pada prosiding terdahulu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam bermula hari ini, selain bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran RM5,000.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Amirul Hakim mengaku cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya akibat kecederaan di kepala ketika di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak di sini, pada 4.15 petang, 3 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian 3 petang, 15 November 2022 tertuduh sedang solat sebelum buaian mangsa putus menyebabkannya terhempas ke lantai.

Dia membawa bayinya ke hospital dan disahkan mengalami patah paha kanan serta diberi ubat demam sebelum dia kemudian membawa anaknya itu mengurut.

Selepas kejadian itu, mangsa dua kali diserang sawan iaitu pada 30 November 2022 dan 3 Januari lalu.

Semasa tertuduh berlari untuk membawa mangsa ke klinik pada jam 4.20 petang, 3 Januari, kepala mangsa terkena bingkai kayu pintu hadapan rumah secara tidak sengaja kerana terlalu cemas dan apabila tiba di klinik, doktor mengesahkan mangsa kebiruan serta perlu segera dirujuk ke hospital.

Mangsa dibawa ke Hospital Tunku Azizah, Cheras, dengan ambulans lalu dimasukkan ke Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) dan disahkan mengalami patah tulang selangka kanan selain mempunyai kesan gigitan pada pipi, sebelum meninggal dunia pada 6.22 petang hari sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala Amirul Hakim tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 12:37pm
d