utama

Derita buah dada 'beralih'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Teruja mahu memiliki payudara bersaiz luar biasa bagi menarik perhatian ramai berakhir tragedi apabila seorang wanita sebaliknya terpaksa dikejarkan ke hospital bagi menyelamatkan nyawanya.

Mangsa mendakwa pembedahan membesarkan payudara (breast filler) membabitkan kos lebih RM23,600 dilakukannya penghujung tahun lalu di sebuah premis di ibu kota.

Lebih memalukan apabila hasil pembedahan itu menyebabkan fizikal mangsa kelihatan aneh apabila payudaranya beralih posisi hingga mangsa kelihatan pelik.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Elis, 32, tertarik untuk melakukan pembedahan membesarkan payudara ditawarkan melalui laman sosial Facebook.

Dia yang bekerja sebagai pendandan rambut profesional kemudian dibawa seorang ejen untuk bertemu doktor terbabit bagi berbincang soal kos pembedahan.

"Saya diberikan diskaun dan hanya perlu membayar RM23,600 berbanding kos asal lebih RM26,000. Malah saya terlalu yakin kepada doktor lelaki berusia 40-an itu yang mendakwa memilik kelulusan menawarkan khidmat itu dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

"Malah klinik pembedahan dikendalikan doktor itu terletak di Bukit Kiara di sini, didakwa mendapat kelulusan beroperasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menjalani pembedahan selama dua jam di premis itu dengan memasukkan implan ke dalam kedua-dua payudaranya.

"Bagaimanapun, selepas 4 bulan melakukan pembedahan itu, saya mula berasa tidak selesa dan sakit pada bahagian kanan payudara. Malah lebih menyakitkan apabila bahagian puting turut membengkak.

"Selain itu kedudukan payudara turut 'beralih' lokasi hingga menyebabkan ia kelihatan pelik. Saya kemudian pergi semula bertemu 'doktor' berkenaan bagi mendapatkan penjelasan

"Malangnya doktor itu enggan bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku selain menjalankan semula pembedahan bagi mengeluarkan implan yang ditanam di dalam payudara saya," katanya.

Menurutnya, akibat tidak tahan dengan derita dialami, mangsa terpaksa pergi ke sebuah hospital swasta di Damansara bagi mendapatkan rawatan.

"Doktor di hospital berkenaan mengesan berlaku jangkitan serta kedudukan payudara saya yang 'lari' dari kedudukan asal. Saya disarankan melakukan pembedahan di hospital itu bagi menyelamatkan nyawa.

"Saya terpaksa membayar RM28,000 bagi kos pembedahan berkenaan. Susulan kejadian itu saya bertindak membuat laporan kepada pihak MMA kerana tidak mahu lebih ramai mangsa tertipu," katanya ketika ditemui membuat aduan kepada Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA, Datuk Seri Michael Chong, semalam.

Sementara itu, MMA yang dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya menerima aduan dihantar mangsa membabitkan doktor estetik berkenaan.

Bagaimanapun siasatan melalui Malaysia Medical Council (MMC) mendapati doktor terbabit tidak berdaftar secara sah untuk berkhidmat di negara ini.

Menurutnya, mangsa sudah diarah membuat laporan rasmi kepada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) terhadap klinik estetik berkenaan.

Dalam kes berasingan sebelum ini, seorang wanita berusia 30-an turut menjadi mangsa apabila payudaranya rosak dan mengalami jangkitan selepas menjalani pembedahan.

Mangsa mahu dikenali sebagai Tham mengadu payudaranya dijangkiti dan mengalami rasa gatal selepas menjalani prosedur pembedahan oleh seorang pakar bedah.

Dia mendakwa melakukan pembedahan itu membabitkan kos RM13,000 untuk memuaskan hati teman lelakinya

Namun seminggu selepas melakukan pembedahan, nanah keluar dari bahagian yang disuntik pakar bedah itu dengan lemak diambil daripada bahagian punggungnya.

Mangsa mengatakan bahawa dia menjalani pembedahan menyakitkan itu dalam keadaan sedar kerana pakar bedah itu memberitahunya bahawa dia tidak mempunyai lesen untuk membiusnya.

Akibatnya payudara mangsa turut menjadi bengkak dan bertukar warna kepada hitam.

Sementara itu, Michael Chong menyeru semua wanita yang memilih untuk menjalani pembedahan kosmetik atau plastik supaya mendapatkan khidmat doktor berlesen dan disahkan bertauliah sahaja.

"Ia akan mengurangkan risiko untuk mendapati kesan mudarat serta boleh membahayakan nyawa orang ramai. Setakat ini, seramai empat wanita sudah membuat laporan kepada kami sejak tahun lalu," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 12:00pm
d