utama

Filem Pulau diharamkan di Terengganu, penerbit rugi besar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Alasan mereka filem itu mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. Walhal, belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu," kata penerbit filem Pulau, Fred Chong mengenai keputusan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayangan filem itu di negeri itu.

Fred dalam sidang media secara maya berkata, pengharaman filem yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 9 Mac ini memberi kesan besar buat mereka dan bimbang sekiranya ada negeri lain yang akan mengambil tindakan sama dibuat kerajaan negeri Terengganu.

"Semalam Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di sana.

"Saya tak tahu selepas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka. Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam, mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya, ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Menurut Fred, surat itu dihantar kepada pihak pawagam TGV yang memiliki tiga pawagam utama di Terengganu.

"Pihak TGV menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari supaya filem Pulau tidak ditayangkan di tiga pawagam itu di sana. Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu," katanya.

Ditanya mengenai tindakannya, Fred memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat rayuan dan mencadangkan supaya pihak terbabit menonton dan menilai terlebih dulu filem Pulau sebelum membuat keputusan.

"Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta Finas, dan menayangkan filem itu kepada mereka.

"Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya.

"Sekiranya saya mendapat maklum balas daripada pihak sana, saya sanggup ke sana pada Isnin ini untuk menayangkan filem itu kepada mereka," katanya.

Berkongsi mengenai kesan daripada kontroversi yang melanda filem arahan Euho itu, Fred berkata, pihaknya berdepan dengan kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila pihak penaja menarik balik tajaan mereka.

"Kos penghasilan filem ini mencecah hampir RM4 juta dan kami semua meletakkan sepenuh kerja keras kami dalam menghasilkannya. Jadi, apa yang berlaku memberi kesan kepada pihak kami terutamanya sebagai syarikat produksi. Malah, nak bayar kepada stesen radio supaya memainkan lagu OST Pulau pun, kami tak mampu.

"Kalau melihat semua rangka pemasaran untuk filem-filem saya yang terdahulu, kami memang memberikan pemasaran yang sangat mewah dari papan iklan sehinggalah malam gala yang lengkap dengan acara karpet merah.

"Namun, untuk Pulau takkan ada semua itu kerana penaja juga sudah menarik balik tajaan sebanyak RM500,000. Niat kami untuk membawa industri perfileman kita ke peringkat yang lebih tinggi kini musnah.

"Kepada netizen yang menulis komen kecaman dan memboikot, saya rayu anda semua supaya menonton filem ini terlebih dulu sebelum menilainya," katanya.

Sebelum kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pengharaman filem itu, Pulau dijangka bakal ditayangkan di 75 pawagam seluruh negara.

Terdahulu, filem lakonan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Pui Yi dan ramai lagi itu terpalit kontroversi selepas treler yang ditayangkan di YouTube, memaparkan adegan-adegan panas yang tidak selari dengan budaya Malaysia.

Disiarkan pada: February 17, 2023 @ 4:58pm
d