utama

Polis sudah ambil keterangan Nurul Shuhada, akan panggil Hafidz Roshdi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil keterangan isteri pelakon yang ditumbuk suaminya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 29 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi memberi keterangan, hari ini.

"Mangsa selesai memberi kenyataan berhubung kejadian hari ini, manakala suspek (pelakon lelaki) akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Jika perlu tangkapan dilakukan, ia akan dibuat bergantung kepada kerjasama dan keterangan yang diberikan," katanya kepada Harian Metro.

Khamis lalu, isteri kepada pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta di R&R di sekitar Sungai Buloh.

Pelakon lelaki terbabit berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangga pelakon terbabit menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan curang.

Pelakon itu kemudian menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu.

Disiarkan pada: March 4, 2023 @ 1:21pm
d