utama

Puteri Sarah dakwa pernah dipukul Syamsul [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana mengemukakan bukti baharu mendakwa dirinya pernah dipukul oleh suaminya, Syamsul Yusof pada 2020 hingga menyebabkan dia keluar dari rumah.

Puteri Sarah berkata demikian di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas ketika prosiding tuntutan cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Puteri Sarah berkata, bukti baharu itu dikemukakan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadapnya hari ini.

"Sebolehnya saya tak mahu buka cerita mengenai kejadian itu,  tapi disebabkan Syamsul tidak mahu melepaskan saya maka saya dedahkan kepada mahkamah. 

"Sebelum ini saya bertindak berdiam diri kerana masih menyimpan rasa sayang. Tambah pula, bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis. Tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu. 

"Namun yang selamatkan saya ketika itu ialah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya daripada rumah dua tahun lalu. Malah Syamsul pun tahu kenapa (keluar rumah)," katanya.

Menurut peguam yang diwakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader,  insiden dipukul itu adalah salah satu fakta anak guamnya keluar dari rumah selepas didakwa nusyuz oleh Syamsul. 

"Kejadian dipukul antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz). 

"Pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku. Namun begitu, mengenangkan hubungan baik dengan keluarga mentua dia kembali semula ke rumah.

"Jadi andaian anak guam saya keluar ke rumah tanpa izin adalah tidak betul sebab anak guam saya ada alasan kukuh," katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Sebelum ini pada 16 Januari lalu Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdahulu Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Berita berkaitan:

Mentua beri sokongan, jadi saksi kes Puteri Sarah

'Saya sudah lama reda' - Puteri Sarah [METROTV]

Syamsul Yusof hanya geleng kepala

Mahkamah arah Puteri Sarah, Syamsul lantik JKP [METROTV]

Disiarkan pada: March 7, 2023 @ 11:26am
d