utama

Gandingan mantap 'Meerna'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

GANDINGAN pasangan Anna Jobling dan Meerqeen bukan sahaja mencipta fenomena di Malaysia menerusi drama Melur Untuk Firdaus, bahkan nama mereka turut menular sehingga tanah seberang, Indonesia.

Kejayaan mereka membuktikan bahawa bintang drama tempatan juga mampu memecahkan tembok sempadan, sekali gus melangkah masuk dan mencuri perhatian peminat dari sana.

Keserasian mereka itu turut membuahkan hasil dan membawa nama mereka merangkul anugerah dalam kategori Pasangan Drama Terbaik di acara Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang berlangsung Ahad lalu.

Bagi Anna, keserasian antara mereka dalam drama bersiri Melur Untuk Firdaus itu adalah hasil kerja keras mereka secara profesional di samping rasa cinta dan penghargaan daripada peminat yang selama ini menyokong karier seni mereka.

"Saya dah pernah bekerjasama dengan Meerqeen dalam beberapa karya sebelum ini dan sekarang pun, kami bekerjasama dalam Melur Untuk Firdaus 2.

"Jadi, kedua-dua kami adalah orang yang bekerja keras secara profesional. Kami tahu kerja kami dan ditambah pula dengan keserasian yang sudah sedia ada, memudahkan lagi semua prosesnya. Kami dah tahu bagaimana untuk menguatkan lagi keserasian antara kami berdua.

"Kemenangan kami sebagai Pasangan Drama Terbaik juga adalah kerana penonton dan peminat yang suka melihat kami dalam drama itu. Saya dengan peminat pun memang agak rapat," katanya.

Berkongsi mengenai keakraban antaranya dengan peminat, Anna bercerita mengenai aktiviti yang dilakukannya bersama peminat.

"Selalunya mereka akan turun ke set penggambaran untuk bersama kami. Ada ketikanya kami mengadakan sesi sidang video di Zoom untuk berbual dan sebagainya," katanya.

Menyelami watak Melur dengan baik, Anna kini menjalani penggambaran untuk sambungan drama bersiri itu, Melur Untuk Firdaus 2.

"Saya rasa dalam diri saya ada Melur dan dalam diri Melur ada saya. Bila baca skrip, saya nampak bahawa itu adalah saya. Jadi, tak susah untuk saya nak masuk dalam watak itu yang mana dipaparkan sebagai wanita kuat yang mampu berdikari.

"Untuk musim kedua, saya harap semuanya berjalan lancar. Ia adalah satu drama yang tak terlalu berat untuk ditonton sepanjang Ramadan ini, sekali gus mudah untuk dinikmati. Ada beberapa watak baharu dan pada masa sama, peminat yang sudah mengikut musim pertama akan menyaksikan perkembangan serta kematangan watak kami," katanya.

Bagi Meerqeen, kemenangan dalam kategori Pasangan Drama Terbaik TADS2023 itu adalah kemenangan bermakna buat dirinya memandangkan Melur Untuk Firdaus adalah buah tangan sulungnya di TV3.

"Melur Untuk Firdaus adalah 'baby' pertama saya untuk TV3. Jadi, kemenangan kami dalam kategori Pasangan Drama Terbaik ini sangat bermakna buat saya memandangkan proses penggambarannya tidak semudah disangka.

"Alhamdulillah dengan pasukan produksi serta gandingan heroin yang memudahkan lagi proses penggambaran, semuanya berjalan lancar," katanya.

Berkongsi mengenai hubungan rapat bersama peminat, Meerqeen bercerita mengenai kenangan dan cara peminat menghargai kedua-dua mereka.

"Saya rasa tak mustahil juga undian itu daripada peminat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga dari Indonesia sebab ramai juga peminat dan penonton drama ini di negara itu.

"Saya dengan peminat umpama keluarga. Tak semua kami kongsikan kerana masing-masing tahu untuk menjaga privasi. Kebanyakannya kami simpan di belakang tabir.

"Contohnya, ada peminat yang menghantar trak makanan ke set penggambaran untuk kami. Tidak hanya itu, boleh dikatakan kerap juga kami terima hadiah daripada mereka," katanya.

Kini kedua-duanya memberikan tumpuan penuh kepada penggambaran Melur Untuk Firdaus 2.

"Sekarang kami berikan tumpuan penuh kepada Melur Untuk Firdaus 2 sebab ini menjadi keutamaan kami. Kami dah letakkan satu standard berbeza untuk lakonan kami.

"Selain itu, banyak juga jenama yang ingin kami bergandingan. Tapi, semuanya dalam perbincangan juga," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 6:00am
d