utama

'Adik dapat enam bintang sebab special' [METROTV]

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Nibong Tebal: Lahir dengan kecacatan kaki dan pinggul tidak menghalang Umar Hafiy Harith Amir Nor Hafizi, 7, menghadiri sesi orientasi murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil di sini, semalam.

Umar Hafiy Harith yang berperwatakan ceria itu menghidap sacral agenesis iaitu gangguan kongenital yang jarang berlaku. Satu hingga 2.5 peratus bagi setiap 100,000 bayi dilahirkan dalam keadaan sedemikian.

Umar Hafiy Harith yang lazimnya menggunakan papan selaju untuk bergerak, menaiki kerusi roda untuk ke sekolah didorong ibu bapanya iaitu Nurul Fathiah Noordin, 33, Amir Nor Hafizi Nordin, 28, serta ditemani adiknya, Umar Ayyash, 5.

"Saya seronok sangat dapat pergi sekolah jumpa ramai kawan baharu. Memang nak mai (datang) lama dah. Saya nak kongsi makanan dengan depa (mereka)," katanya.

Seramai 86 murid tahun satu termasuk Umar Hafiy Harith mendaftar di SK Sungai Kechil bermula jam 8 pagi dan tamat menjelang tengah hari dengan mereka dibawa melawat persekitaran sekolah seperti kantin dan aktiviti dalam kelas seperti mewarna.

Sebelum itu, Umar Hafiy Harith teruja dan memberitahu ibunya bahawa dia mendapat 'enam bintang' sebaik sahaja kerusi rodanya ditolak keluar kelas usai sesi persekolahan.

"Adik dapat enam bintang sebab adik special (istimewa)," kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Nurul Fathiah berkata, sejak awal, dia berhasrat menghantar anaknya ke sekolah biasa berbanding sekolah berkeperluan khas (SBK).

Menurutnya, walaupun lahir dengan kekurangan fizikal, Umar Hafiy Harith terang hati dan pernah memenangi anugerah celik membaca dan pertandingan bercerita ketika di tadika.

Katanya, doktor juga menjangkakan Umar Hafiy Harith tidak dapat duduk dan perlukan bantuan khas, tetapi ditakdirkan anaknya membesar dengan baik dan aktif walaupun hanya menggunakan kekuatan tangan untuk bergerak.

"Dia mampu buat apa yang dilakukan kanak-kanak seusianya. Dia boleh membaca dan menulis selain mudah menghafal termasuk doa dan surah tertentu.

"Saya rasa lega dan bersyukur, malah pihak sekolah cuba sedaya upaya membantu dan mempermudahkan urusan Umar Hafiy Harith," katanya.

Nurul Fathiah berkata, dia juga sudah memohon kebenaran pihak sekolah untuk menjaga Umar Hafiy Harith sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Kechil Hashim Chik berkata, beliau dimaklumkan Guru Besar Norhayati Mohamad bahawa keperluan kanak-kanak berkenaan akan diurus dengan baik.

"Guru besar sudah memaklumkan kepada saya bahawa pihak sekolah akan memastikan Umar Hafiy Harith dapat menikmati apa yang dinikmati murid lain.

"Pihak sekolah juga sudah meluluskan pembinaan tanjakan dari kantin ke bilik darjah Umar Hafiy Harith bagi memastikan dia boleh menggerakkan kerusi roda dengan mudah," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2023 @ 7:01am
d