utama

Ada harapan Iqbal Mazlan boleh lihat semula

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, Iqbal Mazlan, 33, yang hilang penglihatan secara mengejut sejak 5 Mac lalu lega apabila doktor memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Iqbal ketika dihubungi berkata, doktor memaklumkan matanya kini perlahan-lahan sudah bertindak balas dengan cahaya.

"Alhamdulillah, ada macam satu sinar harapan buat saya. Kiranya ia reaksi positif dengan rawatan perubatan yang dijalani sehingga kini.

"Bagaimanapun, keputusan penuh ujian darah belum ada dan saya masih dalam rawatan ubat anti virus. Doktor beritahu ada lagi 12 dos perlu diambil untuk anti virus," katanya kepada Harian Metro.

Juara program Pilih Kasih musim pertama ini mulanya mengalami masalah kabur pada sebelah mata di sebelah pagi 4 Mac lalu.

Selepas Maghrib, sebelah lagi matanya kabur dan keesokannya, kedua-dua belah matanya tidak lagi boleh melihat.

Dia mulanya ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, namun kemudiannya dirujuk ke Hospital Shah Alam dan dimasukkan ke dalam wad di situ.

Doktor mengesahkan matanya terkena jangkitan virus tetapi belum tahu jenis kerana perlu menunggu ujian darah terlebih dulu.

Malah doktor juga menyifatkan ia kes yang jarang berlaku dan terpaksa melakukan pemeriksaan terperinci berkenaan penyakit ini.

Sementara itu, Iqbal gembira kerana rakan-rakan artis antaranya Fauziah Nawi, Adam Corrie, Hafiz Anak Wayang, Puteri Balqis dan Azlan Komeng antara yang bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

Ditanya berkenaan bantuan rawatan daripada pihak-pihak lain, Iqbal berkata, dia sedang menimbangkan perkara ini.

"Menerusi komen-komen netizen di Harian Metro dan portal hiburan lain, saya dimaklumkan ramai yang komen bagi pautan perubatan tradisional.

"Insya-Allah akan cuba hubungi mereka selepas ini. Harapnya saya akan okey. Terima kasih buat mereka yang membantu.

"Untuk kos keseluruhan rawatan, saya belum tahu lagi. Tunggulah sehingga doktor maklumkan," katanya.

Berita berkaitan:

Pagi kabur sebelah, lepas Maghrib kabur lagi sebelah, esoknya terus tak nampak' - Iqbal Mazlan

Disiarkan pada: March 17, 2023 @ 5:06pm
d