utama

Spontan 'goreng' melodi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

LIMA dekad dalam industri muzik menyaksikan penyanyi bergelar Papa Rock ini mengumpul sejarah tersendiri dalam kariernya sebagai penyanyi ternama terutama di Malaysia dan Singapura.

Lagu-lagunya juga pelbagai dari genre cinta, ketuhanan, kritik sosial dan pelbagai lagi semuanya meletup dan diterima peminat sejak dulu sehingga kini.

Bagaimanapun, ketika berbual dengan Datuk Ramli Sarip, tidak terdengar istilah bersara mahupun letih dari mulutnya berkenaan minat dan kariernya ini.

"Tidak tahu berapa lama saya boleh bertahan lagi. Sekarang usia saya 70 tahun. Mudah-mudahan jika Allah beri saya bonus kesihatan lagi, saya masih ada satu rangsangan hari-hari nak bekerja.

"Setiap hari saya bekerja, rasanya macam sesuatu yang seronok. Banyak idea baharu dan benda baharu saya boleh teroka. Bagi saya, persembahan baik kecil atau besar manapun, tapi saya sampaikan wadah yang perlu dirasa. Yang dicari ialah nikmat kesyukuran," katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menurutnya, setiap persembahan yang dijayakan ialah satu yang menyeronokkan dan memberikannya tenaga.

"Saya suka berkumpul dengan pemuzik di belakang pentas, main gitar sambil 'jamming' lagu yang terhasil secara spontan. Ada lebih 20 koleksi lagu yang terkumpul.

"Saya tak rasa penat, tak rasa lapar, malah tidur lambat pun okey kerana tahu rasa antara kita atas pentas dan di bawah. Fasalnya saya tahu ini kurnia kepada saya.

"Semua pengalaman ini kemudian dikongsi sebagai ilmu untuk dijadikan panduan dan inspirasi bakat pelapis," katanya.

Ramli yang juga penyanyi kumpulan legenda Sweet Charity yang kini bergerak secara solo bersyukur kerana dirinya masih menjadi pilihan menjayakan undangan korporat dan konsert berprestij.

Terbaharu dia akan menjayakan Konsert Syair Timur di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 13 Mei depan.

Konsert ini diilhamkan daripada album Syair Timur yang diterbitkan pada 1997.

"Terima kasih kerana memberi kami beraksi di sebuah pentas yang semua artis suka. Saya rasa konsert ini adalah satu lagi perjalanan seni saya yang agak penting dalam sejarah perjalanan seni saya.

"Pada 1997, saya hasilkan sebuah album yang terbaik iaitu Syair Timur. Saya nak bawa ia ke DFP dengan rasa gabungan rock etnik, pop etnik dan budaya Timur Tengah.

"Konsert ini menggabungkan seni kata dan muzik. Memang ambil masa juga untuk pilih lagu dan persembahan apa nak ditampilkan," katanya.

Figura yang dikenali dengan vokal serak-serak basah ini berkata, dengan golongan peminatnya yang dewasa, banyak lagu yang boleh difestivalkan.

"Saya tampilkan lapan pemuzik dengan Roza Rasul sebagai pengarah muzik. Mungkin lagu yang dibawa sebanyak 17 lagu dan ia lain dari apa yang pernah kita buat. Jadinya masih ada peluang untuk kita pentaskan. Kadang-kadang kita tak tahu apa akan berlaku pada masa depan.

"Tempoh sejam persembahan tidak mencukupi, tapi kami akan beri yang terbaik. Dalam persembahan semua artis perlu diberi kebebasan, tapi kena hormat juga penganjur. Cabaran kami ialah pilih lagu yang sesuai," katanya.

Bercerita mengenai rahsia lagu ciptaannya malar segar dan sering menjadi permintaan ramai dalam konsert atau acara persembahan, Ramli berkata, ia lahir secara spontan.

"Saya sebenarnya tidak mempunyai formula tertentu dalam memastikan lagu ciptaan saya bertahan lama. Keadaan itu sering berlaku terhadap lagu yang dicipta dalam keadaan terdesak.

"Pernah saya didatangi Datuk M Nasir dan bapa kepada penyanyi Ruhil Amani, Allahyarham Hussien Ali meminta saya menghasilkan lagu untuk Ruhil pada era 1980-an.

"Saya ambil gitar dan 'goreng' melodi, tidak sampai beberapa minit, lagu yang diberi judul Kawan itu siap. Tidak sangka lagu yang dihasilkan secara spontan menjadi popular dan diminati hingga hari ini," katanya.

Menurutnya, S Amin Shahab pula mengambil pendekatan mudah apabila menulis lirik berkisar kisah cinta remaja.

Lagu lain hasil sentuhan pada saat akhir yang meletup ialah Ku Di Halaman Rindu nyanyian kumpulan Lefthanded.

"Pengalaman sama dilalui ketika nak menyiapkan album Kalam Kesturi pada 2002. Lagu terakhir yang disiapkan adalah Nyanyian Serambi yang liriknya saya simpan selama dua tahun sebelum dirakamkan.

"Bagaimanapun, ketika itu liriknya hanya ada beberapa baris. Dalam kelam-kabut itu, saya dapat ilham. Pada malam itu juga saya siapkan lagu berkenaan. Walaupun bukan lagu hit, namun cukup memberi makna besar buat saya dan pendengar," katanya.

Dendangan lain yang turut dihasilkan Ramli dalam tempoh singkat iaitu 15 minit adalah Doa Buat Kekasih, lagu duetnya bersama Datuk Khadijah Ibrahim.

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 7:00am
d