utama

Bawa anak ke seberang

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS hampir tiga tahun tidak dapat mencipta nama di Indonesia berikutan pandemik Covid-19, terbaharu pengacara Uyaina Arshad dikhabarkan mendapat tawaran untuk kembali mengacarakan program hiburan di stesen televisyen Indosiar, di sana.

Memilih mengunci mulut dan enggan mengesahkan tawaran lumayan itu, Uyaina bagaimanapun memohon semua pihak mendoakan dia dapat kembali bertemu peminat dan mewarnai industri seni hiburan Indonesia tidak lama lagi.

"Saya seorang yang sangat realistik. Selagi belum tandatangan kontrak tawaran saya tidak akan membuka mulut. Itu prinsip saya sepanjang bergiat aktif dalam dunia seni.

"Saya akan umumkan bila semuanya sudah ada hitam putih. Cuma tidak dinafikan memang ada tawaran daripada stesen TV di Indonesia," katanya ketika ditemui pada majlis Pertunjukan fesyen Ariani Layar Raya 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Uyaina, sekiranya tawaran itu sah menjadi miliknya, dia akan membawa putera sulungnya, Raja Urhan ke Indonesia untuk bersama dengannya.

"Sebenarnya saya sudah berbincang dengan suami (Raja Syahiran) berkenaan perkara ini. Dia pun ada kerja yang perlu dilakukan dan menuntut untuk berada di sini.

"Sekiranya saya jadi pergi ke sana, perancangannya untuk membawa anak. Dia nyawa saya dan mana mungkin saya boleh tinggalkannya.

"Lagipun Urhan sudah berusia enam bulan. Dia sudah mula kenal serta tahu bila saya keluar bekerja. Jadi untuk pergi ke Indonesia tanpa dia di sisi, saya tidak akan pergi.

"Saya ada letakkan syarat kalau pergi bekerja di sana, perlu bawa anak bersama. Sekiranya ada situasi yang tidak membenarkan perkara ini, tidak mengapa. Saya akan fikir perkara lain yang boleh dilakukan," katanya.

Mengulas mengenai bagaimana dia ingin menyusun jadual seninya yang sedia ada sudah padat di Malaysia dan bakal bertambah di Indonesia, Uyaina berkata, dia seorang yang suka mencabar dirinya walaupun sedar apa yang dilakukan itu amat meletihkan.

"Zaman sebelum kahwin saya pernah buat dua program bersiaran secara langsung dalam satu hari. Tahap gila saya pada waktu itu adalah begitu.

"Bayangkan habis saja program realiti di Indonesia sekitar jam 1 pagi, saya bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia.

"Sampai saja di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) saya terus bergerak ke Sri Pentas, Bandar Utama untuk mengacara program Wanita Hari Ini (WHI).

"Tamat saja program itu saya terus ke KLIA semula untuk kejar siaran langsung program yang saya buat di Jakarta. Tapi itu semua zaman sebelum kahwin dan ada anak, tapi kali ini mungkin perlu ikut tenaga dan kudrat sekarang," katanya.

Ditanya mengenai kerjaya di Malaysia sekiranya tawaran di Indonesia menjadi kenyataan, Uyaina berkata, dia masih meneruskan kerja hakiki yang dilakukan sekarang ini seperti mengendalikan program WHI.

"Walaupun selepas ini akan bergiat aktif di Indonesia, tapi kerjaya di Malaysia tidak akan saya lupakan, Saya masih aktif mengacarakan program WHI.

"Ini tahun ketujuh saya bersama WHI. Saya sangat hargai setiap rezeki WHI berikan kepada saya. Malah, saya melihat perubahan dan pendekatan baharu yang dibawakan program kewanitaan ini.

"Kalau tengok di TikTok program ini selalu mendapat perhatian dan tular. Saya sayang WHI dan sanggup berulang-alik setiap minggu demi komitmen terhadap tawaran di dua negara ini.

"Saya tidak akan tinggalkan apa yang sudah saya bina selama ini semata-mata untuk pergi bekerja sekejap. Saya bukannya nak berhijrah ke Indonesia selamanya," katanya.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam jenama fesyen Ariani yang sudah memasuki tahun ketiga, Uyaina berkata, dia tidak menyangka apabila pengasas dan pemilik Ariani, Datin Farah Haryani mempercayai dengan komitmen yang diberikan selama ini.

"Empat tahun lalu, saya hanya dijemput datang ke pertunjukan fesyen jenama ini. Saya ingat lagi ketika itu saya duduk di bahagian hujung dan belakang. Dalam hati terdetik, satu hari nanti, saya nak berada di atas pentas itu.

"Alhamdulillah impian itu menjadi kenyataan dan kini sudah memasuki tahun ketiga bersama bersama. Semoga ukhwah ini akan terus berpanjangan,"katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 6:20am
d