utama

'Assalamualaikum ayah, Omok datang ni...' [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Pontian: "Omok rindu ayah. Omok nak beritahu Omok sudah besar dan pergi sekolah. Dulu ayah ada tetapi sekarang ayah sudah tiada." Itu luahan Muhammad Iqbal Arsyad Mohd Haidir atau nama manjanya Omok yang berusia lima tahun.

Video Omok yang melawat kubur bapanya, Mohd Haidir Tasref, 32, semalam selepas pulang dari Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mencuri perhatian netizen di TikTok hingga meraih 1.8 juta tontonan.

Omok yang bercakap; 'Assalamualaikum ayah, Omok datang ni' sepanjang jalan menuju ke kubur Mohd Haidir meruntun hati warganet yang turut merasai bebanan rindu kanak-kanak itu terhadap bapanya yang meninggal dunia pada 11 Disember tahun lalu kerana kanser pangkal hidung.

Omok ketika dihubungi Harian Metro meluahkan rasa rindu pada bapanya, malah mengakui insan tersayang itu masih diingati setiap saat.

Menurutnya, dia mengajak ibunya, Noor Aishah Sanusi, 32, ke kubur kerana mahu mengubat rindu selain 'memberitahu dirinya sudah bersekolah.

"Omok rindu sangat dekat ayah...nak beritahu ayah Omok sudah sekolah dan bacakan al-Fatihah untuk ayah. Omok kalau rindu ayah mesti ajak ibu pergi kubur dan selalu tengok gambar ayah," katanya yang tinggal di Pekan Nanas, di sini.

Sementara itu, Noor Aishah berkata, arwah suami memang sangat memanjakan Omok yang juga anak bongsu mereka.

Menurutnya, hari ini genap 100 hari suaminya meninggalkan mereka dan mengakui kehilangan itu masih dirasai terutama dua anak mereka.

"Selepas pulang dari sekolah Omok ajak saya ke kubur dan sebaik saja sampai di pagar kubur dia terus memberi salam dan 'beritahu' ayahnya dia sudah datang.

"Ketika di kubur dia mencium batu nisan dan ada beritahu aktivitinya di Tabika sebelum mendoakan serta membaca al-Fatihah untuk ayahnya. Omok memang sangat manja dengan suami, malah kalau dia meragam suami mesti akan pujuk," katanya.

Bercerita lanjut, suri rumah itu berkata, sebelum ke tabika, Omok sudah melihat gambar suami dan memberitahu dia mahu pergi ke sekolah buat kali pertama dalam hidupnya.

"Kalau kita marah Omok, dia akan cakap ayahnya tak pernah marah dia dan kalau dia merajuk akan bawa jalan... Apabila Omok sudah besar, ayah pula meninggal dunia. Mendengarkan apa dikatakan itu memang membuatkan saya sedih.

"Tetapi Omok terima dan memahami kalau ayahnya tidak akan pulang kembali sebab itu dia suka ajak ke kubur dan 'bercakap' dengan gambar ayahnya," katanya memberitahu kanser suami tahap empat.

Berhubung video TikToknya, Noor Aishah berkata, dia tidak menyangka video Omok akan mendapat perhatian ramai sehingga tular dan mengakui video itu hanya untuk kenangan saja.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 5:24pm
d