utama

Tak sempat solat tarawih, masjid terbakar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kariah Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa tidak sempat menunaikan solat tarawih apabila dewan solat utama masjid itu musnah dalam kebakaran, dipercayai akibat litar pintas.

Komander Operasi Rahmat Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.10 malam.

"Tiga jentera dengan kekuatan 21 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada 7.17 malam melakukan kerja pemadaman di ruang masjid yang terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian dengan kemusnahan 90 peratus di ruang solat utama.

"Kebakaran tidak membabitkan sebarang mangsa, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kejadian berlaku pada 6.58 petang disebabkan litar pintas. Tiada kemalangan jiwa, dewan solat utama musnah terbakar," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 11:07pm
d