utama

Selesa drama panjang

Oleh Georgie Joseph

Bukan semua pelakon sanggup bertahan dengan jadual penggambaran yang cukup panjang untuk sesebuah drama. Faktor itu juga yang berat untuk dipertimbangkan apabila menerima sebarang tawaran.

Bagaimanapun, pelakon Amar Baharin atau nama penuhnya Amar Mohd Baharin, 38, syukuri rezeki drama panjang atau rantaian yang kerap menerpa padanya. Hampir setiap projek dijayakannya membabitkan puluhan episod.

Menyedari lakonan masih periuk nasi teratas buatnya, suami pelakon Amyra Rosli, 32, itu tidak melihatnya sebagai beban. Apalagi dia sendiri berkeluarga dan tentu komitmennya bercabang.

"Tak tahulah, tawaran yang saya dapat semuanya drama panjang-panjang. Sebelum ini drama 147 episod, kemudian 40 dan ada juga yang 60.

"Secara peribadi saya tak rasa beban itu mungkin sebab sudah terbiasa alami penggambaran yang lama. Tak macam isteri saya yang memang tak nak," katanya.

Amar faham kerisauan yang bermain dalam fikiran Amyra. Dia tahu bukan semua sanggup korbankan masa peribadi semata-mata menghambakan diri dengan kerjaya hingga jejaskan perihal urusan rumah tangga.

Namun, di situ titik toleransi antara mereka bertembung secara baik sebenarnya. Dia gembira isterinya masih berusaha selaraskan peranannya menjadi ibu dan sebagai anak seni pada masa sama.

Justeru, dia sebaiknya akan melengkapi peranan sebagai suami apabila membabitkan hal rumah tangga. Bukan lepas tangan dan biarkan isteri saja terkulat-kulat menguruskan segala hal.

"Bila terlalu panjang, dia rindu anak, fikir menguruskan seisi rumah. Dia selalu jadi rasa bersalah. Kadang-kadang dia pulang siap minta maaf pada saya sebab tak sempat kemas rumah.

"Bagi saya bukan hal besar pun. Biasalah hidup berumah tangga. Kalau saya ada masa, saya yang buat kerja itu. Kalau dia sangat sibuk, saya yang urus anak dan mama dia (ibu Amyra) pun ada tolong," katanya.

Terbaharu, Amar turut membintangi drama 40 episod berjudul Bukan Puteri Lindungan Bulan untuk slot Samarinda di TV3 yang mula ditayangkan sejak 21 Mac lalu.

Justeru, Ramadan tahun ini tetap sibuk buatnya tatkala ada pelakon lain memutuskan untuk berehat. Namun, katanya, itu tiada dalam kamus kerjayanya pun sejak terjun bidang lakonan.

"Sekarang tengah penggambaran drama itu sampai beberapa hari sebelum Aidilfitri baru kami habis sebanyak 40 episod. Memang Ramadan ini sibuk sampai sebelum raya. Kemudian sambung lagi selepas raya nanti.

"Niat nak rehat waktu Ramadan itu awal-awal berlakon dulu saja. Konon tak nak terbabit penggambaran, tapi tak pun. Setiap tahun mesti akan terbabit juga. Allah bagi rezeki kan," katanya.

Sudah lebih 15 tahun berada dalam industri, kerjaya Amar terus ampuh dan masih berada dalam liga teratas. Rezekinya tidak putus dan masih jadi pilihan ramai penerbit untuk terajui watak utama.

Menurutnya, ada juga waktu surut apabila membabitkan segi tawaran. Namun, katanya sejak awal tahun ini banyak tawaran yang perlu dipertimbangkan.

"Tak macam hujung tahun lalu. Tak tahu kenapa, rakan-rakan saya pun mengalami hal sama kurang dapat tawaran. Masuk awal tahun ini terlampau banyak pula sampai saya kena pilih-pilih. Saya cuma pilih mana yang saya rasa mampu buat.

"Amyra dalam setahun biasanya ambil tawaran dua drama saja sebab nak fokus lebih hoskan program Nona. Jadi, dia lebih selektif kalau mahu terbabit dalam sebarang drama.

"Kalau saya memang itu tuntutan sebagai pelakon drama. Nampak beza kalau awal ke pertengahan tahun. Menuju hujung tahun saja, macam kurang tawaran. Tapi, saya tak kisah sebab saya banyak buat drama panjang," katanya.

Layan TikTok tanpa berlebihan

Mutakhir ini TikTok ibarat platform pemecah tembok dalam kalangan artis tanpa mengira umur. Tidak terkecuali artis tempatan yang mana ada segelintir ligat di laman sosial itu meskipun sudah berusia.

Apa pun, Amar percaya bukan keperluan buatnya untuk turut serta dalam 'kegilaan' itu. Tapi, dia tidak sampai tahap anti atau geli bermain TikTok, bahkan sesekali turut serta berseronok dengan rakan artis lain.

"Itu bukan zaman saya. Saya ada juga kena 'racun' dengan gandingan saya dalam lakonan. Contohnya yang saya buat dengan Anna Jobling untuk drama Akasia sebelum ini. Tapi, saya layan saja dan tiba-tiba dapat sambutan hingga jutaan.

"Saya pun terus terasa dahsyat betul budak-budak sekarang ini. Sebab saya tak melalui zaman itu. Saya tak nak ketinggalan terus dan tak cuba platform media sosial baharu ini. Saya buat juga akaun TikTok, tapi tak aktif nak kongsi semua perkara di situ. Kalau rasa nak, saya kongsi," katanya.

Sungguhpun begitu, Amar tidak menyangkal bahawa penggunaan TikTok ada relevan dan kepentingan.

"Relevan itu relevan. Tapi, perwatakan saya tak adalah seperti apa yang ada dalam TikTok itu. Kalau orang suka menari-nari, saya bukan seperti itu. Nanti kalau saya beria-ria ikut, nampak 'fake' pula.

"Saya jadi saja diri sendiri dan kalau orang boleh terima, alhamdulillah. Kalau tak, saya takkan sampai ke tahap nak mengubah diri ke arah itu," katanya.

Dalam pada itu, Amar tidak terdetik langsung rasa tergugat dengan lambakan pelakon baharu lelaki yang dijadikan hero. Menurutnya, dia faham senario itu, tapi lebih percaya jaga rezeki sendiri.

"Mungkin sebab rezeki saya ada saja. Dulu zaman saya baru masuk pun, mereka rasai hal sama kot. Ada orang baharu masuk tak apa, anggap persaingan yang sihat.

"Berlakon ini kan ikut karakter masing-masing. Kadang-kadang terlalu muda tak sesuai untuk watak tertentu," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2023 @ 6:00am
d