utama

'Anak pesan nak baju raya warna hitam...' [METROTV]

Oleh Ahmad Ismail

Muar: Ibu kepada empat kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini, malam tadi tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan tragedi yang menimpa keluarganya.

Nabila Sedu, 31, yang ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dilihat mencium dan mendakap baju tadika anaknya dan kerap mengesat air mata.

Nabila memaklumkan dia amat terkilan tidak sempat membeli kelengkapan baju raya sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

"Ada (pesanan) dari anak... mereka hendak baju raya warna hitam...," katanya sambil mencium baju anaknya.

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari Nabila dan suaminya, Thein Ko Htut, 30, gagal selepas mereka tergesa-gesa meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik HPSF.

Pasangan itu menetap di rumah sewa di Kampung Sabak Awor bersama empat anak sejak empat tahun lalu.

Dalam kejadian malam tadi, empat kanak-kanak maut dalam kebakaran di Kampung Sabok Awor ketika cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di bilik air di dapur.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, siasatan awal menunjukkan kemungkinan berlaku litar pintas dipercayai bermula dari dapur.

Beliau berkata, mayat kesemua kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, untuk bedah siasat.

Kejadian yang berlaku jam 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3.

Disiarkan pada: March 30, 2023 @ 2:25pm
d