utama

Penyanyi sambilan ditahan polis, pukul anak angkat hingga muntah, sukar bernafas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Muntah, badan menggeletar dan susah bernafas ketika bertemu guru kaunseling membongkar kejadian seorang remaja perempuan mendakwa dipukul ibu angkatnya yang juga penyanyi sambilan.

Remaja berusia 16 tahun itu datang ke bilik gurunya pada jam 8 pagi kelmarin dalam keadaan sukar bernafas dan badan menggeletar sebelum muntah.

Gurunya kemudian bertanya sebelum dia mendakwa dipukul ibu dan diugut bunuh ketika berada di rumah di Ukay Perdana, di sini, menyebabkan gurunya tampil membuat laporan polis.

Mangsa turut dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas dilihat dalam keadaan lemah.

Difahamkan kejadian berpunca apabila mangsa ingin pergi solat tarawih namun tidak dipercayai ibu angkatnya yang mengesyaki dia mahu bertemu rakan lelaki menyebabkan berlakunya insiden dipukul.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan laporan diterima, polis kemudian menahan wanita berusia 46 tahun itu di pangsapuri di Ukay Perdana semalam.

Menurutnya, semakan terhadap suspek mendapati dia memiliki satu rekod lampau jenayah tidak dikehendaki polis.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Disiarkan pada: April 1, 2023 @ 4:58pm
d