utama

Hak penjagaan interim diperoleh Diana Danielle dilanjut hingga 30 Mei [METROTV]

Oleh Ramlah Zainal

Shah Alam : Hak penjagaan interim (sementara) yang diberikan kepada Diana Danielle, 32, terhadap anak-anaknya, Muhammad, 10; dan Nur Aurora, 8; sebelum ini dilanjutkan sehingga 30 Mei depan.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Diana berkata, peguam kedua-dua belah pihak sudah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan melalui mahkamah semua isu berkaitan mereka berdua (Diana dan Farid Kamil).

"Nampaknya ada harapan sebab pihak sebelah lagi memberi kemahuan untuk berbincang," katanya.

Akberdin berkata, proses sulh akan diadakan pada 11 April ini dan sebelum itu mereka akan berbincang dan akan rekodkan jika ada persetujuan.

"Selepas itu, kami akan teruskan untuk membubarkan perkahwinan di Mahkamah Petaling Jaya.

"Sekarang ini hak penjagaan interim masih di lagi di bawah Diana dan tadi hakim sudah bagi lanjutan hak penjagaan hingga 30 Mei. Kalau ada persetujuan lebih awal, kita akan mohon kepada mahkamah supaya kita boleh rekod dan bubarkan perkahwinan dengan cepat," katanya.

Ditanya mengenai permintaan Muhammad untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman Farid di Kedah, Akberdin berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dulu sebelum memutuskan perkara itu.

"Kita sedang berbincang dengan peguam di sebelah sana dan kita akan pertimbangkan semua ini. Kita akan buat persetujuan setakat mana kita boleh seperti hak lawatan dan hak bawa pergi ke Kedah, kemudiannya kita akan buat perjanjian untuk perkara terbabit," katanya.

Terdahulu, Diana dan Farid hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, bagi sebutan kali pertama kes hadanah iaitu hak penjagaan dua anaknya.

Disiarkan pada: April 5, 2023 @ 1:36pm
d