utama

Enam kesan hentakan pada muka, telinga Rubiah

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Enam kesan kecederaan akibat hentakan kuat disyaki menjadi punca seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya dengan tukul besi di kediaman mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pemeriksaan fizikal ke atas mangsa terdapat dua kesan hentakan di bahagian mata kanan serta di bahagian dahi, hidung, mulut dan telinga kanan mangsa.

Menurutnya, beliau percaya kesan kecederaan itu berkemungkinan kerana dihentak dengan tukul berkali-kali.

Menurutnya, polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa ditemui terbaring di atas lantai di ruang tamu.

"Terdapat kesan percikan darah di lantai serta dinding rumah berkenaan.

"Ketika kejadian, pasangan itu bersama bayi yang berusia tiga bulan berada di dalam rumah itu," katanya.

Baharuddin berkata, mangsa Rubiah Sabtu, 41, yang menjalankan perniagaan kedai runcit dipercayai dibunuh akibat masalah perselisihan faham.

"Pasangan itu baru setahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia tiga bulan manakala mangsa pernah berkahwin sebelum itu dan mempunyai enam anak.

"Kita sudah menahan suspek yang juga suami mangsa berusia 32 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya juga sedang menyiasat motif sebenar sehingga menjurus kepada kejadian bunuh terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Wanita maut, dibunuh suami dengan tukul besi [METROTV]
  • Disiarkan pada: April 5, 2023 @ 7:18pm
    d