utama

Puteri Sarah akan failkan pembelaan tuntutan nusyuz [METROTV]

Oleh Norhayati Nordin

 

Gombak: Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 38, akan memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz yang dibuat suaminya juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pada 21 Mac lalu.

Peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya bertindak memfailkan tuntutan pembelaan nusyuz berkenaan selaku defendan.

"Pihak kami ambil maklum tuntutan (nusyuz) difailkan plantif (Syamsul) diterima pada 24 Mac lalu. Jadi, pihak kami akan memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan itu," katanya.

Dalam pada itu, Akberdin memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana berada di luar negara dan memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan.

"Anak guam akan sampai di Malaysia pada jam 11 pagi ini," katanya.

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul mengesahkan perkara itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Hakim Syarie Maizatul Aliza Chee Din menetapkan 8 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada tarikh sebutan semula kes itu, mahkamah mengecualikan kehadiran Syamsul dan Puteri Sarah dan hanya diwakili peguam syarie masing-masing.

Sebelum ini, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

Selain itu, antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Nusyuz adalah satu keengganan isteri mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak. 

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014.

Hasil perkahwinan, itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.

 

Disiarkan pada: April 6, 2023 @ 11:50am
d