utama

Lepas sembang minta gambar

Serdang: Amalan 'sexting' iaitu mengirim foto, mesej atau video berbaur lucah dengan menggunakan gajet dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan.

Pada masa sama, lambakan laman sembang lucah yang tersebar tanpa kawalan menyebabkan kanak-kanak mudah mengaksesnya.

Bermula dengan gurau-gurauan, ia akhirnya menimbulkan ketagihan sekali gus menyuburkan sifat terbuka atau open minded dan tidak malu dalam diri.

Apa yang paling dibimbangkan, mereka masih di umur naif dan perlu mendapat tunjuk ajar daripada ibu bapa atau guru.

Hasil tinjauan kami, laman sembang lucah ini amat aktif.

Sebahagian besar pelanggan (subscriber) membabitkan kanak-kanak perempuan yang semestinya masih di bangku sekolah rendah.

Bayangkan, ia menjadi platform mudah buat si pemangsa yang hanya menunggu masa untuk si kecil 'masuk' ke dalam perangkap mereka.

Wartawan Buletin TV9 turut menyamar sebagai kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan reaksi sebenar di lapangan dan cuba mendapatkan bagaimana pendekatan dan ayat yang digunakan oleh rakan baharu dalam perbualan di aplikasi terbabit.

Hanya dimulakan dengan salam sambil sedikit puji-memuji.

Si mangsa mula selesa dan seronok.

Pemangsa pula mula meminta sedikit demi sedikit foto wajah, anggota badan dan disertai kata serta janji manis untuk tidak mendedahkannya.

Mangsa mula percaya kerana mereka begitu naif dengan ayat manis serta janji palsu terbabit.

Apakah kesudahannya jika kanak-kanak ini terjebak?

Selalunya, jarang mangsa dapat kembali ke pangkal jalan jika perkara terbabit tidak disedari oleh ibu bapa atau penjaga.

Pegawai Perkhidmatan 'All Women's Action Society' (Awam) Asrawati Awanina Aslan berkata, pihaknya menemui banyak aplikasi janji temu seperti itu.

"Bila ada aplikasi janji temu, pelaku atau individu yang menggunakan kesempatan teknologi ini akan memperkenalkan diri kepada kanak kanak atau remaja sebelum mengajak mereka terbabit dalam aktiviti sexting.

"Untuk ibu bapa atau penjaga, setiap kali anak ada menunjukkan simptom atau tingkah lau mencurigakan seperti tiba-tiba cuba menyorok apabila hendak bercakap dalam telefon, itulah petunjuknya," katanya.

Berdasarkan statistik kes gangguan seksual dalam talian yang dikeluarkan Awam pada 2021, trend kes yang dilaporkan adalah minimum iaitu tiga kes setiap bulan.

Angka tertinggi direkodkan pada Februari tahun sama iaitu 14 kes.

"Dalam sebulan, ada satu kes paling kurang, jadi boleh kata setiap bulan kita akan terima sekurang-kurangnya satu kes berkaitan dengan sexting," katanya.

Bayangkan, dalam masa beberapa tahun, angka ini akan berkembang jika tiada kawalan atau pembanterasan terhadap platform yang menawarkan hiburan lucah seperti laman sembang.

Jika lima tahun lalu, kebanyakan ibu bapa memberi kebenaran memiliki telefon bimbit kepada anak selepas mereka menamatkan sesi persekolahan iaitu ketika berusia 18 tahun.

Namun kini, kebanyakan kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar seawal usia tujuh tahun dan ada dalam kalangan mereka boleh mengakses telefon sehingga waktu tidur.

Berikut adalah laman sembang popular yang rancak dilayari kanak-kanak tanpa sekatan.

Ia seperti 'Litmatch', 'Omi', 'Michat', 'Mewe', dan 'Bee Talk'.

Bukan itu sahaja, 'Leomatchbot' iaitu satu saluran di aplikasi Telegram juga diikuti ramai remaja.

Walaupun aplikasi seperti ini meletakkan syarat hanya berusia 18 tahun ke atas untuk menyertainya, tetapi ia boleh dimanipulasi menerusi tarikh lahir pengguna dengan maklumat palsu.

Iklan di media sosial berkaitan laman mencari rakan baharu juga kian menonjol serta tiada sekatan kerana pemiliknya sudah membayar yuran iklan terbabit.

Bayangkan, penontonnya adalah kanak-kanak dan mereka hanya perlu 'klik' sahaja kepada iklan untuk sampai ke bahagian muat turun seterusnya boleh mendaftar.

Perlu diingat, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu.

Jadi, jika mereka terjebak dengan laman sembang ini, pastinya jangan terkejut apabila mereka akan asyik melayarinya.

Selain itu, untuk menyembunyikan aktiviti atau komunikasi kotor, mereka akan menggunakan kata kunci atau kod rahsia kepada rakan maya mereka.

Ulama terkenal iaitu Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama pena Hamka pernah berkata, 'hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil, mudah untuk membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaannya yang sukar ditinggalkan.'

Disiarkan pada: April 9, 2023 @ 8:00am
d