utama

Dinding ada arus elektrik

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Bukan setakat rumah berbau hapak berkepam, dinding serta siling rumah berkulat dan berlumut, malah aliran elektrik turut dapat dirasai akibat serapan air dalam dinding.

Itu yang perlu dihadapi penduduk Blok 1 hingga Blok 4 Flat Sri Sementa, Kapar di sini, sejak kira-kira dua tahun lalu.

Malah, penduduk yang tinggal di situ kebanyakannya golongan B40 serta asnaf terpaksa mengeluarkan kos sendiri sehingga mencecah ribuan ringgit memandang pemaju perumahan menghilang diri sehingga kini.

Penduduk mendakwa masalah yang dihadapi mereka semakin teruk sejak dua tahun kebelakangan ini susulan beberapa kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menerbangkan banyak bumbung di flat berkenaan.

Seorang penduduk yang tinggal hampir 26 tahun di flat itu, Madzina Jamaludin, 55, berkata, kebanyakan bumbung di tingkat paling atas sudah rosak dan tercabut, jadi setiap kali hujan air akan bertakung menyebabkan ia menyerap masuk ke dinding lalu turun ke tingkat bawah.

"Rumah flat ini ada lima tingkat, tingkat atas boleh dikatakan kebanyakan unit tiada bumbung dan tiada penghuni. Bila hujan, air hujan akan masuk terus ke rumah atas tanpa bumbung dan bertakung. Ini menimbulkan masalah kepada penghuni di tingkat bawah sebab air menyerap ke dalam dinding turun ke rumah bawah.

"Keempat-empat blok di sini menghadapi masalah sama dan paling teruk blok tiga kerana semua rumah paling atas sudah tiada bumbung, bumbung tercabut dan tiada penghuni," katanya ketika ditemui di flat berkenaan.

Menurutnya, air dari tingkap atas yang menyerap masuk ke rumah bawah juga menyebabkan blackout kerana ia mengganggu sistem pendawaian elektrik dan ada kalanya dinding tidak boleh disentuh sebab ada aliran elektrik.

"Kalau ada anak-anak risau juga, saya sebagai pengasuh, jika berlaku blackout, anak asuhan pegang dinding rumah pun boleh 'renjatan elektrik' sebab dinding yang lembap ada aliran elektrik, saya risau sebab saya jaga anak orang," katanya.

Selain itu, katanya, mereka juga terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk membaik pulih rumah yang rosak walaupun tidak semua berkemampuan untuk melakukannya.

"Ramai pemilik rumah seperti kami terpaksa menanggung kos dari segi pendawaian elektrik, barangan dan peralatan banyak rosak akibat rumah dimasuki air dari tingkat atas, seolah-olah rumah kami banjir dari atas.

"Saya sendiri sudah beli rumah ini, jadi terpaksa mengeluarkan modal untuk membetulkan apa yang patut...mahu atau tidak terpaksa juga keluarkan duit walaupun kami sekadar cukup makan untuk keluarga.

"Walaupun kos tidak besar, tetapi bagi kami yang berpendapatan rendah ini memang menjadi isu sebab di sini ramai juga asnaf, kami bukan orang senang," katanya.

Madzina berkata, isu itu sudah banyak kali diutarakan kepada banyak pihak termasuk pemaju, stesen televisyen tempatan datang membuat liputan termasuk pemimpin tempatan juga politik namun sehingga kini belum ada penyelesaian dan mengharapkan kedatangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) membantu mereka.

Seorang lagi penduduk yang menyewa di flat itu, Mohd Saat Ahmad, 72, berkata, setiap kali hujan, sama ada siang atau malam dia susah hati sehingga tidak tidur kerana bimbang air akan masuk ke rumah dari atas.

"Saya hanya penyewa sebab saya asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bayar sewa bulanan. Saya tidak mampu membaiki jika ada kerosakan timbul, saya hanya mampu bersabar untuk tinggal di sini.

"Bila hujan, air dari atas memenuhi lantai rumah saya dan keadaan ini sudah tiga empat kali berlaku. Jika benar ada pihak MPK akan bantu, syukur Alhamdulillah," katanya yang tinggal di situ sejak setahun lalu.

Bagi Salmah Salleh, 55, pula, dia terpaksa mengeluarkan kos sendiri sehingga mencecah RM5,000 untuk membaiki siling dan sebagainya.

"Kami terpaksa tunggu hujan berhenti baru boleh tengok apa masalah dan baiki sebab air bertakung atas siling...sejak tinggal di sini sentiasa ada masalah, ada sahaja yang perlu dibaik pulih.

"Setiap kali hujan, kami terpaksa padamkan elektrik demi keselamatan. Saluran akan tersumbat, air melimpah ke pintu rumah dan pintu mengembang tidak boleh buka atau tutup.

"Keadaan ketika itu memang macam banjir betul, air memenuhi lantai rumah..selagi hujan tidak berhenti, itulah kami kena hadapi," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati bukan sekadar bumbung hilang, tercabut, rosak teruk, ada juga rumah ditumbuhi pokok-pokok, lebih menyedihkan banyak unit di tingkat lima flat berkenaan tidak berpenghuni seperti rumah tinggal sedangkan di tingkat bawah masih dihuni.

Ada juga penduduk mendakwa pernah membaikpulih siling rumah namun apabila hujan lebat, siling akan merekah, retak, pecah dan kepingan simen pada siling akan jatuh sekeping demi sekeping di depan mata mereka sendiri.

Sebagai persiapan menjelang Aidilfitri nanti, ada juga penduduk yang membaiki keadaan rumah mereka agar nampak lebih baik walaupun tahu risiko yang bakal diterima apabila hujan dan terpaksa menanggung kerugian lagi.

Rata-rata mereka mengakui, meskipun terpaksa tinggal dalam rumah yang berbau dan tidak selesa, tetapi mereka tiada pilihan lain kerana itu sahaja tempat berteduh.

Malah, kebanyakan mereka tinggal di situ sejak awal flat itu dibangunkan sekitar lewat 1990an hingga 2000.

Ikuti penjelasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung isu ini dalam Harian Metro esok

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 7:05am
d