utama

Zamsaham mahu lepas Kelantan FC?

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kemelut melanda Kelantan FC boleh dikatakan sudah sampai ke kemuncaknya apabila pemilik pasukan terbabit, Norizam Tukiman berhasrat untuk melepaskan sepenuhnya saham kepada individu yang mampu.

Hasrat itu diluahkan menerusi Facebook miliknya selepas beberapa pihak terutama penyokong skuad The Red Warriors (TRW) sudah mula mempersoalkan kredibiliti beliau menerajui pasukan terbabit pada musim ini.

Malah, Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham turut mendedahkan sebenarnya Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) masih lagi berhutang RM3.8 juta, sekali gus boleh dikatakan antara punca mengganggu perancangannya untuk membentuk skuad lebih mantap pada musim ini.

"Berbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang Kafa hutang RM3.8 juta belum diterima lagi sesen pun.

"Banyak perancangan saya termasuk 'progress' fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun (dua setengah tahun).

"Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi owner (pemilik) kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yang mampu," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan selepas diserang bertubi-tubi oleh ejen terkenal Korea Selatan, Myeongho Jeong kini skuad Kelantan FC 'dihentak' pula oleh penyokong sendiri dipercayai berikutan tidak berpuas hati dengan aksi buruk pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Ini dapat disaksikan apabila penyokong Kelantan FC menampal poster dan kain rentang di sekitar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, bagi menzahirkan rasa marah dengan prestasi semasa pasukan.

Kemarahan itu ada asasnya kerana selepas lapan perlawanan, Kelantan FC hanya meraih satu kemenangan dan satu seri, selain tewas enam perlawanan.

Kelantan FC terpalit dengan pelbagai isu selepas pasukan terbabit merehatkan Choi Moon Sik pada Selasa lalu menyebabkan Jeong bertindak membuka beberapa cerita yang kurang enak didengar umum di Instagramnya.

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 4:40pm
d