utama

Diana tak mahu apa-apa daripada Farid, cukuplah lepaskan dia

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Diana Danielle, 32, tidak mahu apa-apa daripada suaminya, Farid Kamil, 42, sekali gus menolak tawaran perdamaian yang dikemukakan Farid, hari ini.

Peguam Syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya cuma mahu satu 'amount' yang berpatutan serta nafkah untuk dua anak mereka, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

"Anak guam tidak mahu apa-apa daripada Farid dan dia cuma minta dilepaskan secara baik. Cuma satu yang dia minta iaitu Farid tidak akan  mengabaikan tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada dua anaknya selepas mereka bercerai," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai tawaran Farid itu, Akberdin berkata, Diana menolak kerana ia tawaran perdamaian untuk mereka kembali sebagai suami isteri.

"Anak guam saya mahu bercerai dan menganggap perkahwinan antara mereka sudah berakhir dan sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

"Terma penyelesaian muktamad ini bukan untuk mereka berbaik semula tetapi ke arah perceraian. Saya sebagai peguam Diana sudah sampaikan kepada peguam Farid semalam. Penyelesaian ini kita akan  muktamadkan dan kemukakan di mahkamah kemudian,"katanya.

Terdahulu, Farid menawarkan beberapa tawaran kepada Diana Danielle bagi menyelamatkan rumah tangganya ketika hadir pada prosiding proses sulh yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Farid menyenaraikan empat tawaran dengan jumlah keseluruhan RM319,700 iaitu sebuah kereta Toyota Vellfire berharga RM225,000; barangan kemas bernilai RM10,700; wang pendahuluan nafkah dari Mac hingga Jun 2023 sebanyak RM40,000, dan bayaran balik pakej umrah sebanyak RM44,000.

Disiarkan pada: April 11, 2023 @ 8:56pm
d