utama

Anggota tentera hilang ditemukan meninggal dunia

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota yang lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu ditemukan sudah meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mayat anggota dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu dijumpai jam 10.15 pagi tadi.

"Ya sudah jumpa (mangsa). Saya akan dapatkan laporan penuh dan muktamadkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dahulu dan siaran media mengenainya akan saya keluarkan, terima kasih," katanya sewaktu dihubungi media hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Kelmarin, media melaporkan mengenai kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira jam 5 petang Jumaat lalu.

Kehilangan mangsa yang juga seorang lelaki berbangsa Melayu itu dilaporkan kepada polis hanya pada jam 12.50 tengah malam Ahad lalu.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada hari yang sama mangsa hilang (7 April).

Berita berkaitan:

Jenazah akan dikebumikan di kampung halaman

Disiarkan pada: April 12, 2023 @ 3:32pm
d