utama

Lebaran dua hero remaja

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SECARA tiba-tiba nama Nadhir Nasar dan Mierul Aiman menjadi sebutan ramai. Semuanya kerana populariti drama bersiri Projek: High Council yang menjadi fenomena dalam kalangan penonton.

Buktinya, ketika sesi perjumpaan dengan peminat, mereka disambut dengan jeritan dan sorakan kebanyakannya remaja yang ingin bertemu mereka secara lebih dekat.

Secara kebetulan kedua-duanya adalah bekas peserta program pertandingan Hero Remaja yang banyak melahirkan nama popular dalam industri hiburan tanah air.

10 kali uji bakat, semua 'reject' Nadhir

Nadhir, 27, atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar yang memulakan langkah sebagai model peragaan menganggap rezekinya tidak salah alamat dalam bidang seni.

"Saya berusaha sendiri mencari ruang untuk bertapak dalam bidang ini. Cuma Hero Remaja satu-satunya platform yang bawa saya masuk dunia hiburan. Sebelum itu saya pernah cuba sertai sekitar 10 uji bakat dan gagal.

"Saya mencuba uji bakat kali terakhir dalam Hero Remaja sambil berkata dengan diri sendiri, ini adalah yang terakhir. Tambah lagi ketika itu usia saya sudah 24 tahun. Itu yang dikatakan rezeki tak salah alamat. Ia datang pada masa yang saya dah sedia.

"Saya percaya pada kata-kata ini. Ingatkan itu percubaan terakhir, tapi Allah nak bagi rezeki buat saya," katanya yang bergelar pemenang Hero Remaja 2020.

Sebelum itu Nadhir pernah menjadi model peragaan untuk Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) selama tiga tahun bermula pada 2016.

"Sampai satu tahap, saya rasa perlu tingkatkan karier saya ke arah lain. Sampai bila nak jadi model dan saya nak lebih ke depan dalam industri. Masa itu saya tengah cari ruang bertapak, tapi ada juga perancangan lain.

"Selain model, saya nak jadi pelakon, tapi nak biasakan diri dulu dengan kamera sebelum masuk lakonan. Itu salah satu perancangan saya. Alhamdulillah banyak juga perubahan dan rezeki saya untuk tahap yang ada sekarang.

"Saya ada ijazah penyiaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan berhasrat bekerja di belakang tabir. Pernah terfikir kalau bukan di depan kamera, saya akan berada di belakang kamera. Sekarang rezeki depan kamera dulu, insya-Allah lepas ini saya akan ada di belakang kamera. Saya akan ke situ juga," katanya yang turut aktif mengarah muzik video dan filem pendek.

Bercerita mengenai Aidilfitri, Nadhir berkata, dia mahu mencari sesuatu yang berbeza apabila meraikannya di kampung keluarganya di Kuala Kangsar, Perak.

"Saya nak lebih relaks dan tenang dulu. Saya nak bagi lebih masa kepada diri sendiri dan keluarga. Untuk peminat pula mungkin saya buat rumah terbuka di dewan misalnya. Insya-Allah.

"Kalau boleh ditulis, rutin raya saya setiap tahun ialah layan main meriam buluh di Kampung Talang, Kuala Kangsar. Di situ ialah kampung tradisional yang buat meriam buluh, tapi sekarang dah guna paip besi.

"Kami bermain di sawah berlawan-lawan dengan kampung sebelah. Tahun lalu pun sama. Yang seronok apabila balik kampung, saya adalah orang biasa tanpa layanan istimewa," katanya.

Mierul luangkan masa layan peminat beraya

Mierul, 25, atau Muhammad Amirul Aiman Norazman pula bermula sebagai model pada usia 18 tahun untuk mengumpul pengalaman beraksi di depan kamera.

Dia juga mengikuti kelas teater anjuran Revolution Stage untuk menimba ilmu lakonan selama enam bulan.

"Banyak pengalaman dan ilmu ditimba. Saya beraksi di pentas kecil, tapi berjaya buka rasa mengenai lakonan. Ternyata susunan Allah sangat cantik dan Dia mendengar apa yang saya nak.

"Selepas enam bulan, saya ditawarkan menyertai Hero Remaja. Ibu bapa dan rakan-rakan semua beri galakan. Namun, saya kena tangguh belajar satu semester dan kejuruteraan mekanikal di Universiti Selangor (Unisel).

"Syukur saya dapat restu ibu bapa dengan syarat kena habiskan belajar. Selepas tamat program itu, saya banyak berlakon watak sampingan dan Projek: High Council adalah yang terbesar setakat ini.

"Semua lapan pelakon di dalamnya bawa watak utama. Saya baru setahun jagung dalam industri dan berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan pengarah," katanya yang bergelar pemenang Hero Remaja 2021.

Walaupun sibuk dengan aktiviti seni, Mierul akan cuba luangkan masa melayani peminat yang datang beraya ke rumah keluarganya di Pahang.

"Projek: High Council menaikkan nama saya. Seboleh mungkin saya cuba memberikan layanan terbaik kepada mereka.

"Emak saya orang Mentakab, manakala ayah pula Jengka. Jadi, saya akan beraya di kedua-dua kampung mereka. Saya dah sediakan duit raya buat mereka. Sebenarnya sejak dua tahun lalu saya buat benda ini. Apa pun raya kali i

ni saya nak buat yang paling seronok," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2023 @ 6:00am
d