utama

Tragedi mahu beraya di rumah rakan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Pelajar tingkatan enam maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Gaung-Teris berhampiran Kampung Tajin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari itu, mangsa, Nurnazifa Faizul Azman, 19, yang cedera pada bahagian kaki dan kepala disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital.

Difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan untuk menziarahi rakan sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai ketika pemandu Perodua Myvi bersama tiga lagi penumpang dalam perjalanan dari rumah saudara di Kampung Tajin ke rumah mereka di Felda Jerangau Barat.

Beliau berkata, mangsa yang memandu Perodua Kancil bersama rakannya berusia 19 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Diman ke Telemong.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan berkenaan menyebabkan Nurnazifa tersepit di dalam kenderaan dan dibawa keluar dengan bantuan pihak bomba.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan namun Nurnazifa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang.

"Kejadian sama turut menyebabkan pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun patah tangan kanan, cedera pada kaki dan luka-luka pada badan sementara empat mangsa yang lain termasuk penumpang Perodua Kancil mengalami cedera ringan," katanya.

Hasmerra berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rassyied Mohd Noh di talian, 018-2054757 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 24, 2023 @ 12:58pm
d