utama

Empat sekeluarga pengsan akibat kurang oksigen, rempuh plaza tol

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Bentong: Empat sekeluarga pengsan di dalam kenderaan yang dinaiki dipercayai kekurangan oksigen di dalam badan ketika perjalanan sebelum merempuh Plaza Tol Bentong, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada 2.40 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong di Selangor.

"Kenderaan dipandu mangsa melanggar pintu plaza tol berkenaan. Pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas rondaan Op Selamat 2023 di Lebuhraya Kuala Lumpur, Karak memberi bantuan awal kepada mangsa dibantu anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak pengurusan lebuh raya.

"Mangsa seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak dikeluarkan dari kenderaan dan dirujuk kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Tindakan pantas ini dapat menyelamatkan empat nyawa. Semua pengguna jalan raya di minta berhati-hati ketika memandu di musim perayaan ini," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2023 @ 7:47pm
d