utama

Duit raya alam ghaib RM500k

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sanggup menjaja nama pendakwah terkenal Indonesia, Abdullah Gymnastiar untuk menipu orang ramai dengan menawarkan pemberian 'duit raya' dari alam ghaib melalui aplikasi Telegram.

Itu antara taktik penipuan terbaharu didalangi scammer yang dikesan menggunakan elemen agama dan dakwah untuk menjerat mangsa dalam kalangan warga tempatan.

Lebih mengejutkan sindiket cuba 'memancing' orang ramai dengan menawarkan wang Aidilfitri menjangkau RM500,000 dalam masa kurang 24 jam.

Sindiket scammer menggunakan nama dan gambar profil pendakwah terkenal itu mula dikesan muncul sejak seminggu lalu apabila ramai pemilik telefon pintar menerima mesej atau pautan kumpulan Telegram milik scammer secara mendadak.

Wartawan yang menyamar bagi mengetahui taktik digunakan sindiket mendapati penjenayah siber licik berlakon sebagai pendakwah atau 'kiyai' yang dikenali sebagai pendakwah tersohor di negara jiran itu.

Melalui penyamaran di Telegram dihantar suspek, wartawan berpura-pura berminat dengan 'duit' ditawarkan berkenaan sebelum menghantar mesej.

Wartawan: Benarkah ini pendakwah terkenal Indonesia, Abdullah Gymnastiar?

Scammer: Benar anak. Saya adalah pendakwah itu.

Wartawan: Salam kiyai Aa Gym, adakah benar tawaran wang ini?

Scammer: Benar!. Ini bagi membantu umat Islam yang memerlukan. Wang ini untuk mereka yang kesempitan terutama sepanjang Aidilfitri ini.

Wartawan: Dari mana wang ini diperolehi kiyai?

Scammer: Wang ini diperolehi melalui ritual ugama. Saya ambil dari alam ghaib untuk dihadiahkan. Ia wang halal.

Wartawan: Berapa tempoh lama wang ini boleh diperolehi?

Scammer: Ritual alam ghaib akan diadakan setiap hari. Maka wang dari alam ghaib ini akan diberikan setiap hari selepas pengeras diberikan.

Wartawan: Apa syarat-syarat perlu dipenuhi?

Scammer: Jika anak mahu memohon wang ini, pilih pakej disediakan dan isi borang segera.

Scammer terbabit kemudian segera menghantar borang khas yang perlu diisi melalui Telegram mengandungi butiran nama, alamat lengkap, nombor akaun bank dan jumlah wang diperlukan.

Berdasar maklumat disertakan, scammer terbabit memperkenalkan dua pakej berbeza iaitu 'duit raya' dalam jumlah kecil dan 'duit raya' dalam jumlah besar.

Bagaimanapun individu berminat perlu menghantar terlebih dahulu 'wang pengeras' dengan jumlah minimum RM300 bagi memperolehi pulangan duit raya RM35,000.

Individu sanggup membayar 'pengeras' RM7,500 dijanjikan pulangan tunai RM500,000.

Bagi meyakinkan mangsa yang 'ditarik' masuk ke dalam kumpulan Telegram berkenaan, scammer turut berkongsi gambar alam ghaib diperolehi untuk menimbulkan rasa teruja.

Malah elemen dakwah turut diselitkan suspek menggunakan kata-kata berunsur nasihat, soal keberkatan hidup serta tazkirah pendek sempena Syawal.

Scammer turut memainkan unsur agama apabila menyebut kalimah Allah SWT berulang kali, pentingkan bersedekah serta membantu golongan miskin.

Lebih melampau apabila sindiket mendakwa wang mahu diberikan itu adalah rezeki dari Allah SWT selain asbab untuk ke syurga.

Sindiket guna nama berunsur Islam

"Tidak hanya menyamar menggunakan 'watak' tokoh agama. Malah sindiket penipuan di media sosial Telegram turut menggunakan pelbagai nama samaran antaranya Atok Abdul Salman, Imam Annas, Tuan Guru Yusof, Saidina Ali dan pelbagai nama berunsur Islam.

Jurucakap Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, walaupun amaran sudah diberikan berhubung penipuan melalui laman sosial Telegram, namun masih ramai terjebak dengan taktik penipuan sama.

"Sebelum ini Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sudah mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan dipromosikan dalam Telegram.

"Kebiasaannya sindiket akan menawarkan pulangan keuntungan tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam kepada mangsa," katanya.

Menurutnya, selain menawarkan pulangan wang 'alam ghaib', sindiket sebelum ini aktif menawarkan peluang skim pelaburan yang tidak wujud.

"Mereka ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam.

"Sindiket menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dan mereka juga menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman sesawang dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut," katanya.

Menurutnya, mangsa kebiasaannya adalah golongan tamak dan terlalu teruja dengan testimoni dihantar sindiket membabitkan video dan gambar wang didakwa hasil keuntungan dihantar kepada orang ramai.

"Malah testimoni palsu ini diselitkan dengan dakwaan semua urusan patuh syariah.

"Pelabur yang berminat akan diminta menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej ditawarkan dengan mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu atau pemindahan wang," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2023 @ 12:00pm
d